Hock Peng menaja penginapan lebih 1,000 pelajar dikuarantin
Tarikh : 18 Jun 2020  Sumber Berita: Utusan Sarawak
 
 Charles (tiga kiri), Francis (dua kiri) dan yang lain merakam kenangan sebelum proses sanitasI 202 bilik di kedua-dua hotel berkenaan dijalankan. SEDIA: Charles (tiga kiri), Francis (dua kiri) dan yang lain merakam kenangan sebelum proses sanitasI 202 bilik di kedua-dua hotel berkenaan dijalankan.

SIBU: Kumpulan Syarikat Hock Peng telah menaja kira-kira RM1.2 juta untuk menanggung kos penginapan 1,133 pelajar di bawah pengawasan (PUS) yang dikuarantin di Hotel Li Hua dan Hotel Medan di Terminal Bas Sibu dekat sini, dari 2 Mei hingga 16 Jun.

Residen Bahagian Sibu Charles Siaw berkata, Kumpulan Syarikat Hock Peng dengan murah hati menawarkan 202 bilik di dua hotel berkenaan sebagai pusat kuarantin sementara tanpa sebarang caj selama 46 hari.

Beliau menambah, tajaan termasuk penyediaan makanan halal tiga kali sehari kepada pelajar.

“Kerajaan negeri telah melakukan penjimatan kira-kira RM1.2 juta atas langkah mulia yang dilakukan Kumpulan Syarikat Hock Peng berkenaan.

“Kedua-dua hotel menyediakan kemudahan yang moden dan selesa kepada pelajar kita.

“Oleh itu, kami mahu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kumpulan Syarikat Hock Peng, terutama kepada Pengarah Urusannya Datuk Toh Chiew Hock dan adiknya yang juga Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Hock Peng Pemanca Datuk Francis Toh Chiew Peng serta adik perempuannya Pengarah Hotel Li Hua dan Hotel Medan Toh Leh Bin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menyaksikan pelaksanaan proses sanitasi dan nyah cemar ke atas kedua-dua hotel berkenaan semalam.

Proses sanitasi dijalankan berikutan hari ini merupakan hari terakhir kedua-dua hotel tersebut beroperasi sebagai pusat kuarantin sementara untuk pelajar yang pulang ke rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan yang telah ditetapkan, Charles memberitahu bahawa kemudahan hotel termasuk perkhidmatan penerimaan, sanitasi, pembersihan dan dobi dikendalikan kakitangan yang terlatih dan berpengalaman daripada pelbagai agensi, iaitu Jabatan Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam, PDRM dan RELA.

“Kami gembira untuk memaklumkan bahawa sepanjang tempoh kuarantin tidak ada kes positif COVID-19 yang dikesan di kalangan pelajar atau kakitangan sokongan kami.

“Kami dapat memberi jaminan kedua-dua hotel ini selamat untuk menyambut tetamu baharu,” katanya.

Sementara itu, proses sanitasi dijalankan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah.