SMK Kampung Nangka sedia terima pelajar 24 Jun
Tarikh : 18 Jun 2020  Sumber Berita: Utusan Sarawak
 
 Kiew (tiga kiri) dan guru lain membuat isyarat bagus sambil menunjukkan jarak satu meter meja pelajar yang telah kemas disusun semalam. PENJARAKAN SOSIAL: Kiew (tiga kiri) dan guru lain membuat isyarat bagus sambil menunjukkan jarak satu meter meja pelajar yang telah kemas disusun semalam.

SIBU: “Sekarang, kami sebagai guru di sekolah akan mengambil alih tugas petugas barisan hadapan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan para pelajar apabila mereka kembali ke sekolah pada 24 Jun ini,” kata Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Nangka Kiew Soon Lee.

Menurut Kiew, petugas barisan hadapannya yang terdiri daripada 84 tenaga guru hadir ke sekolah secara bergilir-gilir untuk membersih dan menyusun bilik kelas.

Katanya, mereka telah membuat persediaan sejak dua minggu bagi mematuhi semua prosedur operasi standard yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Apabila Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Jidin mengumumkan pembukaan semula sesi persekolahan bagi kelas peperiksaan awam pada 24 Jun ini, guru-guru kita dengan bersemangat kembali ke sekolah untuk membuat persediaan yang diperlukan.

“Kita mengikut sepenuhnya semua SOP yang ditetapkan di mana meja pelajar disusun pada jarak satu meter dan hanya 20 meja dalam satu kelas.

“Para guru kita juga telah membuat garis penjarakan sosial di dalam kawasan sekolah bagi memastikan pelajar kita sentiasa menjaga penjarakan sosial mereka,” katanya apabila ditemui pemberita di sini, kelmarin.

 Guru SMK Kampung Nangka melakukan persediaan menyusun meja pelajar pada jarak satu meter bagi mematuhi SOP ditetapkan. BERSEMANGAT: Guru SMK Kampung Nangka melakukan persediaan menyusun meja pelajar pada jarak satu meter bagi mematuhi SOP ditetapkan.

Beliau berkata, pematuhan SOP amat penting kerana ia mampu memberi keyakinan kepada ibu bapa pelajar akan keselamatan dan kesihatan anak mereka sepanjang ber-ada di sekolah.

Tidak dinafikan masih ramai ibu bapa yang berasa bimbang akan keselamatan anak mereka berikutan kes COVID-19 yang masih belum reda sepenuhnya.

Oleh itu katanya, pihak sekolah mengambil langkah proaktif agar semua SOP yang ditetapkan dilaksana dan dipatuhi.

“Antara persiapan yang kita lakukan apabila sekolah dibuka nanti adalah suhu badan para pelajar akan diambil terlebih dahulu sebelum mereka dibenarkan masuk ke kawasan sekolah atau kelas.

“Suhu juga akan diambil selepas waktu rehat dan waktu balik. Pelajar yang mempu-nyai gejala akan diasingkan.

“Selain itu, kita juga me-nempatkan pensanitasi ta-ngan di tempat-tempat yang sering dikunjungi pelajar seperti tandas, kantin dan bilik guru.

“Malah kita juga me-nempatkan guru-guru kita di sekitar kawasan sekolah dalam mengawasi pergerakan para pelajar bagi memastikan pematuhan penjarakan sosial,” katanya.

 Kiew dan seorang lagi guru menunjukkan                      gegantung mengenai COVID-19 yang akan digantung sekitar kawasan sekolah. UNTUK INFO: Kiew dan seorang lagi guru menunjukkan gegantung mengenai COVID-19 yang akan digantung sekitar kawasan sekolah.

Oleh itu katanya, SMK Kampung Nangka telah siap sedia sepenuhnya untuk menerima kehadiran pelajarnya, walaupun jika kerajaan memutuskan untuk memulakan sesi persekolahan lebih awal.

“Kita juga telah membuat penyusunan semula jadual kelas. Oleh itu, jika pihak KPM kata hari ini sesi persekolahan bermula, kita sudah siap sedia sepenuhnya.

“Malah, jika sesi persekolah dibuka untuk semua tingkatan, kita juga sudah siap sedia kerana persiapan yang kita lakukan sejak dua minggu lalu turut melibatkan kelas-kelas lain,” katanya.

Beliau menambah, beberapa info grafik mengenai COVID-19 juga dilekatkan di dalam bilik kelas bagi me-ningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar.

“Kita juga telah memaklumkan kepada ibu bapa pelajar menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan WhatsApp tentang SOP yang ditetapkan di sekolah,” katanya.