SESCO diharap dapat bantu tiga rumah panjang dan satu kampung
Tarikh : 24 Jun 2020  Sumber Berita: Utusan Sarawak
 
 Wong (dua kanan) bersama pasukannya ketika melawat Kampung Vinchai di Tanjung Kerto, Sibu. TURUN PADANG: Wong (dua kanan) bersama pasukannya ketika melawat Kampung Vinchai di Tanjung Kerto, Sibu.

SIBU: Syarikat SESCO Berhad (SESCO) diharap dapat membantu tiga rumah panjang dan satu kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong yang tidak menikmati bekalan elektrik sejak sekian lama walaupun lokasinya berdekatan dengan bandar.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dudong Wong Ching Yong berkata rumah panjang dan kampung terbabit ialah Rumah Jackson Sibat Jimbau di Nanga Assan, Rumah Anggau Minggat (Sungai Pasai Tengah), Kampung Vinchai Jimie (Tanjung Kerto) dan Rumah Gundah Sipuok (Sungai Assan).

“Rumah Jackson Sibat terletak 100 meter dari jalan utama atau Jalan Sungai Assan. Kabel elektrik dapat dilihat dari rumah panjang itu.

“Tuai Rumah Jackson memberitahu saya bahawa beliau sudah memohon bekalan elektrik sejak 15 tahun lalu.

“SESCO memaklumkan kepadanya bahawa kos sejumlah RM300,000 diperlukan untuk kerja-kerja menyalurkan bekalan elektrik dan ia sangat mahal,” katanya di sini semalam.

Wong berkata, penduduk Rumah Jackson sangat kecewa kerana selama 20 tahun ini mereka hanya dapat melihat wayar dan tiang elektrik yang jaraknya hanya 100 meter dari rumah panjang itu.

Beliau berkata, senario sama berlaku kepada Rumah Gundah yang tidak jauh dari Rumah Jackson.

“Kampung Vinchai hanya 10 minit perjalanan dari Jambatan Lanang, juga meminta bekalan elektrik daripada SESCO tetapi dimaklumkan kosnya melibatkan hampir RM1 juta.

“Rumah Anggau adalah rumah panjang terpencil di Sungai Pasai Tengah memohon bekalan elektrik tetapi permohonan ditolak kerana tiang elektrik terakhir terletak lebih daripada satu kilometer dari rumah panjang berkenaan,” jelas beliau.

Bagi masalah ini, Wong memohon mengenai perkara tersebut kepada kementerian terbabit sejak 2019.

Beliau juga meminta pertolongan dan sokongan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Romeo Christopher Tegong untuk memanjangkan permohonan tersebut kepada kementerian.

“Saya harap SESCO dapat membantu penduduk terbabit sejajar dengan dasar baharu mahu menerangi setiap rumah panjang di Sarawak,” katanya.