SRS di bawah KRT bagi bahagian Sibu digerakkan semula
Tarikh : 24 Jun 2020  Sumber Berita: Utusan Sarawak
 
 Ariffin (kanan) menyerahkan belantan buluh kepada Madehi sebagai simbolik pengaktifan semula SRS Kampung Nangka, Bandong dan Barieng malam kelmarin, sambil disaksikan (depan, dua dari kanan) Nurfatimah, Drahman dan yang lain. UNTUK RONDAAN: Ariffin (kanan) menyerahkan belantan buluh kepada Madehi sebagai simbolik pengaktifan semula SRS Kampung Nangka, Bandong dan Barieng malam kelmarin, sambil disaksikan (depan, dua dari kanan) Nurfatimah, Drahman dan yang lain.

SIBU: Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah Kawasan Rukun Tertangga (KRT) bagi bahagian Sibu digerakkan semula malam kelmarin, selepas dihentikan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Sibu Siti Nurfatimah Hussen berkata, pihaknya telah memilih tujuh SRS di bahagian Sibu untuk digerakkan semula iaitu tiga di daerah Selangau, Sekuau dan empat lagi di daerah Sibu.

“Pihak SRS telah diberi kelulusan untuk menjalankan operasi namun berdasarkan SOP (prosedur operasi standard) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Perpaduan Negara.

“SRS di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu yang digerakkan semula malam ini adalah SRS Kampung Nangka, Bandong dan Barieng, SRS Kampung Datu, SRS Nangsang dan SRS Bukit Kenyalang.

“Manakala SRS Skim Sekuau Zon 2 dan 3 pula adalah di bawah IPD Dalat dengan dikawal selia oleh Balai Polis Stapang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas upacara simbolik pengaktifan semula SRS KRT di Jalan Bandong, malam kelmarin.

Jelasnya, pemilihan SRS untuk menyertai aktiviti rondaan yang dijalankan serentak di seluruh negara malam kelmarin adalah dibuat berdasarkan keaktifan peronda-peronda sendiri.

Sementara itu, Ketua Pasukan Pemantau Sibu DSP Ariffin Bahar berkata, SRS tersebut akan beroperasi dua kali dalam tempoh seminggu bermula jam 9 malam hingga 5 pagi.

“Tetapi ia adalah terpulang kepada SRS kerana mereka di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sibu,” ujarnya.

Ariffin memberitahu, beliau hanya sebagai pemantau untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dipatuhi.

“Seperti yang kita tengok sebentar tadi, mereka yang bertugas telah diperiksa suhu badan dan pastikan keadaan kesihatan mereka baik, baru SRS boleh dijalankan. Kalau tidak, saya tidak boleh membenarkan mereka menjalankan SRS,” tegasnya.

Ditanya mengenai penyertaan anggota polis, katanya penyertaan anggota polis dalam SRS tersebut akan diatur, tetapi penyertaan anggota bukan sepanjang masa.

“Kalau mereka hendak meronda maklumkan kepada saya, saya akan cuba aturkan anggota bersama mereka dalam masa-masa rondaan itu,” ujarnya.

Hadir sama Pengerusi KRT Nangka, Bandong, Barieng Drahman Julaihi, Pengerusi Jiran Wanita KRT Kampung Nangka, Bandong dan Barieng Fatimah Narawi dan Ketua Peronda SRS Kampung Nangka, Bandong dan Barieng Madehi Hassim.