Dua jambatan runtuh, lebih 200 terputus hubungan
Tarikh : 21 Jul 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

 Jambatan Tisang tidak kelihatan setelah dibawa arus Sungai Tisang.MUSNAH: Jambatan Tisang tidak kelihatan setelah dibawa arus Sungai Tisang.

KANOWIT: Dianggarkan lebih 200 penduduk dari enam rumah panjang di Rantau Lugai dekat sini terputus hubungan setelah dua jambatan utama yang terletak di jalan balak Kem Nanga Dap-Kanowit-Ulu Lugai yang menghubungkan mereka ke pekan Kanowit runtuh, semalam.

Tuai Rumah Salang Manggau dari Rantau Lugai berkata, Jambatan Tarik dan Jambatan Tisang runtuh disebabkan limpahan air Sungai Tarik dan Sungai Tisang yang pasang besar pada 14 Julai lalu disebabkan hujan berterusan.

Menurutnya lagi, rumah panjang yang terjejas ialah dua rumah panjang dari Sungai Poi, Rumah Magal, Lubuh Tanjung, Rumah Jimmy, Kerangan Sibau, rumah panjang di kawasan Tamang termasuk rumah panjangnya sendiri.

“Saya merupakan wakil kepada penduduk berkenaan melahirkan rasa sedih melihat jambatan yang merupakan laluan darat utama kami runtuh.

“Dengan menggunakan jalan kem ini ia lebih dekat untuk sampai ke pekan (Kanowit) lebih kurang dua jam lebih berbanding mengguna laluan sungai yang mengambil masa lebih kurang lapan hingga 9 jam terutama pada musim kemarau dengan kos pengangkutan yang menggunakan 30 gelen minyak untuk satu arah perjalanan yang menelan belanja lebih kurang RM500 dan ia jauh lebih mahal jika dibanding dengan kos pengangkutan darat dengan tambang menaiki kereta sewa hanya RM100 bagi perjalanan ulang-alik dari rumah panjang ke pekan Kanowit yang hanya mengambil masa lebih kurang dua jam lebih untuk sampai,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, terputusnya jambatan ini sangat memberi impak besar kepada penduduk di Rantau Lugai terutama golongan warga emas yang perlu ke klinik untuk memeriksa tahap kesihatan setiap bulan.

“Jika musim perayaan lebih kurang 400 orang penduduk dari Rantau Lugai termasuk yang tinggal di bandar pulang ke kampung akan melalui Jambatan Tarik dan Jambatan Tisang.

“Mewakili semua penduduk yang menggunakan kedua-dua jambatan tersebut, kami memberi segunung harapan yang tinggi menyusun sepuluh jari menyeru kepada pihak yang berwajib agar proses baik pulih jambatan ini dipercepat bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk di kampung kami ini,” jelasnya.

Salang memberitahu, adalah lebih baik sekiranya kedua-dua jambatan kayu itu dinaik taraf kepada jambatan besi agar lebih kukuh dan tahan lama.

Justeru, beliau memohon kerjasama pihak berkuasa berkaitan supaya mengambil perhatian serius terhadap masalah tersebut demi keselesaan penduduk.