COVID-19: Satu kematian, satu kes positif di Kuching
Tarikh : 27 Jul 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

Infografik JPBNSInfografik JPBNS

KUCHING: Sarawak merekodkan satu kes kematian jangkitan COVID-19 baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negeri sebanyak 19 kes, setakat ini.  

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan, berkata kes kematian ke-19 melibatkan kes ke-589 dilaporkan di Sarawak, dan merupakan kematian ke-124 di Malaysia. 

"Mangsa merupakan seorang wanita warga tempatan berumur 63 tahun beralamat di Samariang Baru, Kuching," kata JPBNS.

 JPBNS turut memaklumkan satu kes positif baharu COVID-19 dilaporkan di daerah Kuching hari ini daripada Kluster Sentosa, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Sarawak setakat ini sebanyak 650 kes. 

“Pada hari ini terdapat satu kes baharu yang dilaporkan melibatkan pengesanan kontak dari kluster yang masih aktif. Kes merupakan lelaki warganegara tempatan yang bekerja sebagai petugas kesihatan di fasiliti tersebut. 

"Kes disaring secara aktif yang melibatkan Kluster Sentosa dan merupakan kes ke-21 melibatkan kluster ini. Kes diambil ujian swab pada 24 Julai dan disahkan positif pada 25 Julai serta dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya. 

JPBNS memberitahu setakat hari ini, terdapat sembilan kluster masih aktif iaitu Kluster Syarikat Kejuruteraan (kekal empat kes), Kluster Mambong (kekal lima kes), Kluster Pusat Perubatan (kekal tiga kes), Kluster Jupiter (kekal tiga kes), Kluster Pasar Stutong (kekal tujuh kes) dan Kluster Jeti Kuching (kekal dua kes). 

Selain itu, penambahan satu kes dalam Kluster Sentosa menjadikan jumlah kes 21 kes, Kluster PUI Melbourne (kekal dua kes) dan Kluster Syarikat Pembinaan Kuching (kekal dua kes). 

"Dimaklumkan juga dua kes baru sembuh dan discaj dari HUS hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah sembuh dan discaj seramai 563 orang atau 86.62 peratus dengan 68 orang masih menerima rawatan,” katanya. 

Hari ini juga sebanyak enam orang disyaki (PUI) baharu dilaporkan dengan lima kes masih menunggu ujian makmal dan seramai 69 orang dibawah pengawasan (PUS) mendaftar masuk di hotel bagi menjalani kuarantin. 

Tiga daerah iaitu Kuching, Samarahan dan Bau masih berstatus kuning manakala lain-lain daerah berstatus hijau.