Isu tekanan air rendah di Sibu Jaya bakal diatasi tahun depan
Tarikh : 10 Aug 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

 


SIBU: Masalah tekanan air rendah di Sibu Jaya khususnya di kawasan rumah pangsapuri (flat) bakal berakhir apabila projek menaik taraf saluran paip dijangka siap antara bulan Jun hingga Disember tahun depan.

Ahli Lembaga Air Sibu (LAS) Benjamin Tian (gambar) berkata, projek itu merupakan Projek Rakyat yang kini kerja-kerja naik taraf sedang dijalankan.

"Projek ini akan menukarkan saluran paip lama kepada saluran paip baharu yang lebih besar agar dapat membekalkan air dengan tekanan lebih kuat lagi.

"Masalah ini (tekanan air rendah) telah mendapat perhatian LAS, oleh itu projek berkenaan sedang dijalankan. Diharap para penduduk yang terjejas bersabar dahulu sementara menantikannya siap," katanya ketika ditemui pemberita pada upacara melekatkan papan tanda Pusat Perkhidmatan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Sibu Jaya di sini, hari ini.

Upacara itu disaksikan oleh Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Wong Ching Yong dan Pengerusi Kehormat SUPP Cawangan Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck.

Tian yang juga Ketua Pemuda SUPP Cawangan Dudong berkata, punca utama masalah tersebut adalah disebabkan saluran paip lama yang digunakan ketika ini sudah tidak dapat menampung jumlah populasi penduduk di Sibu Jaya yang semakin bertambah dari tahun ke tahun.

"Paip utama yang menyalurkan air dari LAS terus ke Sibu Jaya yang sedia ada ketika ini sudah berusia 20 tahun yang hanya mampu menampung kapasiti 10,000 isi rumah sahaja. Itu sebab tekanannya sangat rendah.

"Sejak kawasan Sibu Jaya dibangunkan dengan pesat paip itu tidak pernah ditukar sehingga ke hari ini dimana sekarang populasi penduduk mencecah lebih dari 35,000 orang dan ia dijangka akan bertambah hingga ke 50,000 lagi pada masa akan datang," jelasnya lagi.

Tanpa menyebut kos keseluruhan Projek Rakyat itu, Tian memberitahu, paipnya akan disalurkan dari LAS terus ke Sibu Jaya hingga ke Kanowit yang menggunakan saluran paip berkapasiti besar.

Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana penempatan di Sibu Jaya yang menghadapi masalah tekanan air rendah agar menghubungi LAS supaya bekalan air dapat dihantar kepada mereka.