Hospital Kanowit perlu dinaik taraf kerana semakin sesak
Tarikh : 03 Sep 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

 Keadaan orang ramai yang terpaksa berbaris panjang sebelum mendapatkan rawatan.BERBARIS PANJANG: Keadaan orang ramai yang terpaksa berbaris panjang sebelum mendapatkan rawatan.

SIBU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diharap dapat mempertimbangkan keperluan menaik taraf Hospital Kanowit yang semakin sesak.

Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Satu Anchom ber-kata, inisiatif itu juga wajar disegerakan berikutan kemudahan sedia ada tidak lagi bersesuaian dengan perkembangan semasa, khususnya dalam menangani masalah kesesakan pesakit.

Katanya, populasi penduduk di Kanowit yang meningkat kebelakangan ini memerlukan hospital itu dinaik taraf termasuk bagi menampung keperluan kemudahan kesihatan untuk kawasan pedalaman dan luar bandar berhampiran.

“Kita tidak boleh biarkan hospital ini terus sesak dengan pesakit, sebaliknya faktor keselesaan juga perlu diambil kira,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Satu, kesesakan itu berlaku sejak beberapa tahun lalu berikutan peningkatan ketara bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Ujar beliau, keadaan itu menyebabkan ketidaksele-saan dan tekanan kepada kakitangan bertugas dan pesakit.

Sehubungan itu, Satu mencadangkan supaya kerajaan memperbesarkan ruang menunggu yang sempit, menambah bilangan doktor serta menambah jumlah kaunter farmasi.

“Berdasarkan pengalaman saya sendiri, para pesakit terpaksa menunggu tiga hingga empat jam menunggu gili-ran,” jelas beliau.

Katanya, adalah wajar Hospital Kanowit dinaik taraf bagi meningkatkan persekitaran rawatan yang lebih selesa dan kondusif kepada orang ramai.