Rumah MAKSAK Sibu dijadikan tempat transit gelandangan
Tarikh : 03 Sep 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

 Fatimah (kanan) beramah mesra dengan salah seorang gelandangan yang menerima perkhidmatan gunting rambut percuma di Rumah MAKSAK Sibu semalam.MESRA: Fatimah (kanan) beramah mesra dengan salah seorang gelandangan yang menerima perkhidmatan gunting rambut percuma di Rumah MAKSAK Sibu semalam.

SIBU: Rumah Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Bahagian Sibu, Jalan Sanyan di sini dijadikan Tempat Transit Untuk Gelandangan (TTUG) Sibu yang pertama di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan geran berjumlah RM546,000 untuk mengubah suai rumah MAKSAK tersebut.

“TTUG Sibu yang bakal ditubuhkan mampu menempatkan 40 gelandangan pada satu-satu masa. Kapasiti tersebut adalah berdasarkan jumlah purata 30 gelandangan dikenal pasti di sini bagi tempoh tiga tahun lalu.

“Konsep TTUG Sibu sebagai tempat persinggahan sementara untuk gelandangan membersihkan diri, makan dan tidur pada malam hari.

“Pada siangnya, mereka keluar untuk urusan masing-masing,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Fatimah berharap kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan secepat mungkin dan TTUG Sibu dapat beroperasi dalam waktu terdekat ini.

Terdahulu, Fatimah melawat Rumah MAKSAK dan beramah mesra dengan tiga gelandangan menerima perkhidmatan gunting rambut percuma serta menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sibu.

“TTUG Sibu berfungsi menyediakan kemudahan transit untuk gelandangan menumpang tidur serta makan percuma pada waktu malam.

“Selain itu, menyediakan khidmat saringan kesihatan fizikal, mental dan ujian pengesanan penyalahgunaan bahan terlarang dan bantuan rujukan kepada agensi berkaitan,” jelasnya.

Fatimah berkata, operasi TTUG Sibu diurus pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilantik kementerian dan Jawatankuasa Penyelarasan Pemantauan Sosial Bahagian (JPPSB) Sibu.

Oleh itu katanya, Persatuan Amal Shan Xin Malaysia Cawangan Sibu dikenal pasti oleh JPPSB Sibu sebagai ‘anchor’ bagi mengurus operasi TTUG Sibu.  

“Kerajaan negeri juga bersetuju memperuntukkan geran sejumlah RM244,800 setiap tahun kepada Persatuan Amal Shan Xin Malaysia Cawangan Sibu bagi menampung kos operasi TTUG,” katanya.

NGO-NGO lain turut memberi perkhidmatan dan sumbangan ialah Gabungan Persatuan Cina (UCA) Bahagian Sibu, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Sibu, Lions Club Sibu, Junior Chamber International (JCI) Malaysia Sibu, KRT Brooke Drive dan Empawah, Chinese Annual Conference, Methodist Church in Malaysia Sibu dan beberapa lagi NGO serta individu-individu bermurah hati menyatakan komitmen menyumbang kepada TTUG Sibu.

Fatimah berkata kementeriannya juga merancang menubuhkan TTUG di Kuching, Miri dan Bintulu dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelarasan Pemantauan Sosial Bahagian yang dipengerusikan residen masing-masing.

“Bagi Kuching dan Miri, kita kini dalam proses mencari kawasan strategik untuk menubuhkan TTUG ini.

“Saya juga menyeru kepada semua pihak terus menyokong usaha-usaha bagi memastikan setiap golongan masyarakat dapat menikmati kesejahteraan sosial,” katanya.