Iktiraf asas pembentukan Malaysia, kembalikan hak Sabah dan Sarawak - Abg Jo
Tarikh : 17 Sep 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

Abang Johari semasa berucap pada sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup Sibu, malam ini. - Gambar ihsan Jabatan PeneranganAbang Johari semasa berucap pada sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup Sibu, malam ini. - Gambar ihsan Jabatan Penerangan

SIBU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan harus mengembalikan hak-hak dan kuasa Sabah dan Sarawak sejajar dengan asas-asas pembentukan negara.

Beliau berkata, dari perspektif Sarawak, negara ini harus berbalik kepada asas penubuhan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Intergovernmental Committee.

"Saya yakin bahawa pengiktirafan terhadap fundamental (asas) ini akan memperkukuhkan lagi semangat kenegaraan kesemua bahagian negara ini terhadap Malaysia, dan bukan sebaliknya.

"Percayalah, anggapan jika ada, khususnya Sarawak sebagai parochial atau kedaerahan tidak akan membantu penyatuan negara. 

"Sarawak, dan Sabah pastinya hanya mahu kuasa-kuasa yang terhakis, secara sengaja atau tidak sengaja, dikembalikan. Itu sahaja, nothing more and nothing less (tidak lebih dan tidak kurang)," katanya semasa berucap pada sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup Sibu, malam ini.

Abang Johari pada masa sama merakam penghargaan atas persetujuan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam beberapa perkara untuk mengembalikan hak-hak dan kuasa Sabah dan Sarawak pada masa ini.

Beliau berkata bahawa rakyat Sarawak kini sudah mengetahui sepenuhnya hak-hak mereka, dan perlindungan khas, dan menuntut agar pemimpin diperingkat persekutuan menghormati dan memastikan tidak melanggar hak-hak dan perlindungan ini.

"Rundingan yang sedang dijalankan berhubung pelaksanaan Perjanjian Malaysia mencerminkan usaha ini.

"Kita semua yakin dan mengharapkan jalan keluar yang tidak akan merugikan semua pihak, dan yang lebih penting lagi, tidak ada penyingkiran hak perlembagaan, perlindungan khas dan status yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak seperti yang dipersetujui oleh bapa pengasas negara dan termaktub dalam 57 tahun yang lalu dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dalam pada itu katanya, tidak dapat dinafikan bahawa banyak yang sudah dicapai oleh Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia dalam tempoh masa 57 tahun. 

Namun, tidak dapat dinafikan juga bahawa Sarawak juga belum lagi mampu mengejar pembangunan khususnya di Semenanjung Malaysia, tambahnya.

"Apa yang penting bagi Sarawak ialah negeri ini harus terus mengorak langkah untuk meletakkan negeri ini di persada pembangunan yang lebih intensif agar mampu menjadi sebuah negeri yang maju menjelang 2030," katanya.

Sementara itu, sambutan Hari Malaysia 2020 dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Hadir sama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Mokhtar selaku wakil Ketua Menteri Sabah; Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan tetamu kehormat yang lain.