53 buah rumah panjang berdekatan Projek Lebuhraya Pan Borneo bakal hadapi gangguan air 8 jam
Tarikh : 22 Sep 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

Chang (duduk, tiga kiri), Sempurai (duduk, tengah), Wong (duduk, kanan) bersama tuai-tuai rumah panjang pada sidang media, hari ini.Chang (duduk, tiga kiri), Sempurai (duduk, tengah), Wong (duduk, kanan) bersama tuai-tuai rumah panjang pada sidang media, hari ini.

SIBU: Penduduk yang tinggal berdekatan dengan Projek Lebuhraya Pan Borneo akan mengalami gangguan bekalan air selama 8 jam berikutan kerja-kerja penyambungan saluran paip oleh pihak kontraktor Pan Borneo yang dijadual pada Rabu (23 September) ini.

Menurut Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Chang Kuet Shian, kawasan yang terjejas merangkumi di beberapa kawasan di KJD (Batu 4 - Batu 16), Pakan (kecuali kawasan pasar), Lemayong, Pekan Bintangor, Sungai Sian, Sungai Selidap, Bukit Papit dan kawasan Lebaan dalam Bahagian Sarikei.

Jelasnya, ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja  iaitu penyambungan saluran paip baharu jenis 500mm HDPE Peringkat Kedua dan 500mm DICL Peringkat Ketiga bermula dari Jalan Bulat sehingga ke Simpang KJD.

"Kita telah menjalankan kajian di kawasan tersebut di mana sebanyak 53 buah rumah panjang akan terjejas mengikut tiga kategori iaitu 'high impact, 'medium impact' dan 'low impact'.

"Justeru itu, pihak JBALB Bahagian Sarikei dan pihak kontraktor Pan Borneo mengambil langkah proaktif dengan menyediakan sembilan buah tanker untuk penghantaran bekalan air berjadual ke kawasan-kawasan yang terjejas akibat kerja-kerja interconnections tersebut," katanya semasa bercakap pada sidang media di Pejabat Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), hari ini.

Hadir sama Jurutera Bahagian Sarikei Chieng Ghin Wei, Pengerusi MDLBS Sempurai Petrus Ngelai dan timbalannya Wong Ching Yong.

Beliau berkata, proses ini akan mengambil masa selama 8 jam bermula pada jam 5 petang dan dijangka selesai pada jam 1 pagi (24 September).

Bagaimanapun, katanya, akibat saluran paip yang masih kosong, ini akan mengambil masa untuk meningkatkan tekanan (air), sekaligus menyebabkan tempoh gangguan air yang lebih panjang.

"Pihak kami menjangkakan gangguan bekalan air bakal berlaku melebihi dari 8 jam di kawasan-kawasan yang lebih jauh.

"Oleh itu, kita menjangkakan kawasan yang menerima impak lebih tinggi akan mengalami tekanan air rendah sehingga 9 hari, manakala 5 hari untuk kawasan yang menerima impak sederhana.

"Tetapi kita akan cuba sedaya upaya untuk mengurangkan kesan kepada penduduk dengan menghantar lori tangki air berjadual ke kawasan yang terjejas," jelasnya.

Namun demikian, beliau menambah, kerja-kerja ‘interconnections’ tersebut akan ditunda ke hari berikut sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan untuk dilakukan pada hari yang telah dirancang.

"Kerja-kerja ‘interconnection’ ini tidak dapat dielakkan untuk kelancaran pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan penaiktarafan sistem bekalan air yang lebih baik.

"Kami berasa kesal di atas segala kesulitan yang timbul dan amat menghargai kesabaran yang tinggi daripada pengguna yang terjejas di sepanjang tempoh gangguan bekalan air ini," ujarnya.

Sementara itu, Sempurai berkata, pihaknya akan memantau perkara ini bagi memastikan kerja-kerja tersebut berjalan lancar dan semua rumah panjang yang terjejas akan dibekalkan dengan air tangki berjadual.