Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Biasiswa: Tambahan RM750,000 biayai 50 pelajar kalangan B40 di UTS

Posted on 20 Sep 2022
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Kerajaan Sarawak bersetuju menyediakan peruntukan tambahan Skim Biasiswa Universiti Teknologi Sarawak (UTS) sejumlah RM750,000 bagi membiayai pengajian selama empat tahun kepada 50 pelajar kalangan B40.


Perkara ini didedahkan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Dr Annuar Rapaee semasa berucap merasmikan Majlis Penangguhan Seminar Zakat di Dewan Kompleks Islam Sibu pada Isnin.

Pengerusi UTS itu berkata, kuota skim biasiswa pengurangan 80 peratus yuran pengajian untuk 100 pelajar Bumiputera dan 100 bukan Bumiputera diumumkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tahun lalu telah penuh dan lebih kuota.

"Pada masa ini, sudah penuh. Maksudnya ada 50 pelajar terdiri daripada anak-anak orang kita tidak dapat manfaat daripada skim biasiswa tersebut.

"Namun semalam saya berjumpa dengan Premier (Abang Johari), beliau bersetuju menambah RM750,000 untuk empat tahun yuran pengajian kepada 50 pelajar," katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) supaya dapat menyediakan peruntukan sama untuk 50 pelajar daripada kalangan anak yatim dan asnaf.

Dr Annuar (enam kanan), Abang Shibli (enam kiri) dan yang lain bersama peserta Seminar Zakat di Dewan Kompleks Islam Sibu pada Isnin.Dr Annuar (enam kanan), Abang Shibli (enam kiri) dan yang lain bersama peserta Seminar Zakat di Dewan Kompleks Islam Sibu pada Isnin.

Dr Annuar berkata, UTS dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak menyediakan yuran pengajian sangat rendah, setaraf dengan universiti-universiti awam lain.

"Jika dapat, misalnya pelajar kalangan anak yatim atau asnaf, kita boleh mula dengan 50 orang dahulu. Kita hanya memerlukan RM750,000 perbelanjaan mereka selama empat tahun di UTS.

"Dari segi kemudahan lain, kita tidak perlu hantar mereka belajar ke luar negeri atau tempat lain yang memerlukan kos lebih tinggi," jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu memuji langkah Baitulmal Sarawak mengadakan seminar tersebut dalam usaha meningkatkan kesedaran kalangan masyarakat mengenai fungsi dan peranan Baitulmal menguruskan wang zakat.

Katanya, Baitulmal mempunyai peranan begitu luas dan besar untuk masyarakat Islam di Sarawak.

"Saya harap seminar ini menjelaskan secukup-cukupnya mengenai peranan Baitulmal dan paling penting sokongan masyarakat Islam untuk masa depan lebih cerah," katanya.

Hadir sama, Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.



image Undian
image Pengumuman