RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menjadi universiti pertama dan satu-satunya universiti milik kerajaan negeri yang sedia menawarkan tempat kepada pelajar yang lahir di negeri ini tetapi masih belum mempunyai status kewarganegaraan yang sah.
Pengerusi UTS Datuk Dr Annuar Rapa'ee berkata, selain UTS tidak ada universiti lain di seluruh negara yang menawarkan peluang kepada pelajar terbabit untuk melanjutkan pengajian tinggi mereka.
"UTS merupakan universiti pertama dan satu-satunya universiti milik kerajaan negeri yang menawarkan tempat kepada pelajar yang masih belum mempunyai status kewarganegaraan yang sah bagi melanjutkan pengajian mereka," ujarnya pada sidang media di UTS, hari ini.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat itu berasa agak kecewa dengan isu Liana Sari Santud yang videonya dimuat naik menerusi akaun TikTok, baru-baru ini.
Menurut Dr Annuar, isu itu menggambarkan seolah-olah UTS menafikan tempat untuk beliau (Liana) yang belum mempunyai kad pengenalan, di UTS selepas berlaku sedikit kekeliruan.
"Isu ini seolah-olah menunjukkan kita tidak kisah mengenai pelajar tanpa status kewarganegaraan yang sah," jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka.
Dalam isu ini katanya, semua pihak tidak boleh menghukum kanak-kanak atau pelajar yang tidak mempunyai dokumen yang lengkap, terutama dalam soal untuk mendapatkan pendidikan.
Oleh itu jelas beliau, kerajaan bersetuju memberi dokumen sementara kepada kanak-kanak atau pelajar sementara menunggu mereka dalam proses mendapatkan dokumen pengenalan diri yang sah.
"Dengan dokumen pengenalan sementara ini, mereka boleh pergi ke mana-mana sekolah. Terpulang kepada ibu bapa atau saudara mara untuk memohon dokumen sementara ini untuk membolehkan mereka masuk ke sekolah atau ke UTS," ujarnya.
Menyentuh mengenai isu Liana, Dr Annuar berkata isu beliau (Liana) dengan UTS telah selesai memandangkan UTS tidak pernah menafikan peluang terhadap beliau meneruskan program ijazahnya di universiti itu.
"Tiada isu untuk dia belajar di UTS dengan atau tanpa MyKad. Kita melayannya sama seperti rakyat Sarawak yang lain dan sebab itulah, dia juga layak mengikuti program asasi secara percuma, yang dibiayai oleh kerajaan negeri," katanya.
Mengenai isu kad pengenalan Liana, beliau berkata perkara itu tidak ada kaitan dengan UTS kerana ia melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dr Annuar turut memberitahu tidak timbul persoalan Liana diterima masuk oleh UTS kerana rayuan dalam video yang dimuat naik memandangkan dia telah diterima sejak mendaftar ke program Yayasan Seni UTS (FIA) bagi sesi akademik 2022/2023.
"Juga tidak timbul persoalan kita tidak menawarkan beliau peluang seperti penduduk Sarawak yang lain walaupun dia masih memohon dokumen pengenalan diri.
"Saya tidak akan campur tangan kerana saya tidak mahu orang ramai beranggapan yang saya boleh campur tangan dalam soal kemasukan ke universiti.
"Saya tidak ada kuasa dan jika saya ada kuasa, saya tidak akan salah guna kerana kemasukan ke universiti adalah berdasarkan kelayakan akademik. Bukan berdasarkan campur tangan atau rayuan dalam TikTok," tegasnya.