Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Mengutip limpahan kulat tahun selepas ribut petir di Nanga Ngungun

Posted on 08 Jan 2024
Source of News: Utusan Borneo
Kulat tahun dijual oleh Lada. - Gambar Conny Banji
Kulat tahun dijual oleh Lada. - Gambar Conny Banji

KANOWIT: Kejadian ribut petir dan hujan lebat di penempatan semula Nanga Ngungun di sini dua hari lalu adalah petanda baik untuk Lada Manja pergi semula ke denai di huma padinya untuk mengutip kulat tahun.

 

Petani berusia 63 tahun itu tahu kulat tahun atau nama saintifiknya Termitomyces Aurantiacus serta juga dikenali sebagai cendawan busut, biasanya akan tumbuh selepas fenomena cuaca sebegitu.

"Ia menghasilkan wangian yang manis.

"Saya berjalan di sepanjang denai dalam kebun buah-buahan menuju ke huma padi saya apabila saya terhidu aroma yang manis.

"Apabila saya melihat ke bawah, barulah saya ternampak sekumpulan 'kulat tahun'," katanya mengimbau kembali kejadian dia terjumpa cendawan itu, baru-baru ini.

Lada berkata, pada hari itu dia membatalkan rancangannya untuk pergi ke huma padinya dan mula mengumpul kulat yang dipercayai tumbuh hanya sekali setahun di kawasan tertentu.

Dia membawa pulang kira-kira dua kilogram cendawan itu dan menjualnya dengan harga RM10 sebungkus kira-kira 100 gram kepada penduduk rumah panjang.

"Ia sangat laris seperti pisang goreng panas kerana semua orang di sini tahu rasa sedap cendawan ini jika dibandingkan dengan jenis lain.

"Kulat tahun dibuat sup sangat sedap.

"Resipi mudah untuk memasak cendawan ialah dengan mendidihkan air dalam periuk, masukkan garam, MSG dan cendawan.

"Biarkan ia mendidih selama kira-kira lapan hingga 10 minit dan ia sedia untuk dimakan," katanya.

Sementara itu, Abdullah dan Profesor Dr Rusea Go dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mengkaji tentang cendawan itu dalam penyelidikan mereka bertajuk 'Documentation of Inherited Knowledge On Wild Edible Fungi from Malaysia' yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Blumea edisi ke-54 pada 2009.

Penyelidikan menyatakan kulat anai-anai besar dan emas agak biasa ditemui di Semenanjung Malaysia tetapi dalam kuantiti yang kecil pada satu-satu masa.

"Orang ramai yang mengutip cendawan ini dari tapak kampus UPM tidak tahu nama sebenar selain sejenis cendawan busut tetapi mereka tahu ia boleh dimakan kerana terdapat pseudorhiza apabila kulat itu ditarik.

"Ciri-ciri menonjolnya termasuk topinya yang besar, berwarna oren, badan berbuah yang mudah pecah.

"Anehnya, kulat ini dikenali masyarakat Iban di pedalaman Sarawak sebagai ‘kulat tahun’ yang nampaknya merupakan nama Melayu pada asalnya.

"Menariknya, sesetengah orang Melayu di Semenanjung Malaysia merujuk kepada T. heimii sebagai 'kulat tahun' yang seolah-olah menunjukkan pengenalan ahli genus Termitomyces, bukannya nama spesies," katanya.



image Undian
image Pengumuman