Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Imigresen serbu dua lokasi, tahan 84 PATI di Sibu

Posted on 19 Jun 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Seramai 84 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu Ops Gegar dan Ops Sapu yang dilancarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak di sini awal pagi semalam.

Operasi bermula sekitar jam 12 tengah malam hingga 3.30 pagi itu dilaksanakan oleh Pasukan Tindakan Khas (PTK) JIM Sarawak dengan menyasarkan dua lokasi tumpuan iaitu sebuah pusat hiburan dan sebuah rumah kedai yang disyaki menjadi tempat aktiviti serta penempatan warga asing tanpa dokumen sah.

Pengarah Imigresen Sarawak Abdul Halim Abang Naili dalam satu kenyataan berkata, operasi melibatkan seramai 12 anggota PTK itu adalah hasil risikan dalaman pihaknya.

"Sebanyak 110 individu telah diperiksa dalam operasi ini dan seramai 84 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Daripada jumlah tersebut seramai 67 adalah lelaki manakala 17 lagi perempuan.

"Tahanan terdiri daripada 63 lelaki warga Pakistan, 17 warga Indonesia (tiga lelaki dan 14 perempuan) serta seorang lelaki warga Myanmar," ujarnya.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki pas atau permit sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, tinggal melebihi tempoh dibenarkan di bawah Seksyen 15(1)(c) serta menyalahgunakan pas lawatan atau permit berdasarkan Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut.

  •  oleh 
    Andy Sabang


image Undian
image Pengumuman