Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

10 pelajar SMK Tiong Hin tamat program anjuran KKSRCS tingkat keyakinan diri

Posted on 12 Nov 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Seramai 10 pelajar terpilih dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiong Hin membuktikan bahawa sifat pendiam bukan penghalang untuk berjaya apabila mereka menamatkan Program Intervensi Sahsiah dan Rekreasi Tali Tinggi (Indoor) anjuran Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS) pada Selasa.

Kejayaan itu sekali gus menghantar mesej jelas bahawa perubahan positif dalam diri pelajar mampu berlaku apabila diberikan platform dan bimbingan yang betul.

Program berkonsepkan khidmat komuniti (CSR) itu merupakan inisiatif strategik KKSRCS yang kini dibuka kepada semua sekolah menengah di Sibu amnya. 

Ia dijalankan menggunakan kemudahan yang diiktiraf oleh Persatuan Litar Cabaran Malaysia (MCCA) dengan bimbingan fasilitator bertauliah MCRC Tahap 2 dalam persekitaran yang selamat.

Guru pengiring Pau Kui Hee menyifatkan program berkenaan sebagai satu bentuk “terapi keyakinan” yang berkesan.

“Saya amat terharu. Pelajar yang biasanya pemalu dan menunduk di sekolah, hari ini berani mencabar diri di tempat tinggi.

“Perubahan positif dalam masa beberapa jam amat ketara,” katanya.

Perasaan itu turut dikongsi oleh peserta program Grace Kiu Eng Hui.

“Saya takut tinggi dan pada mulanya rasa mustahil. Tapi bila berjaya sampai ke penghujung, saya rasa sangat bangga. 

“Ia buat saya sedar bahawa saya pun boleh buat. Sekarang saya lebih berani,” katanya.

Menurut pihak KKSRCS, program ini diwujudkan bagi memperkukuh pembangunan sahsiah pelajar secara holistik dalam mendepani cabaran akademik dan emosi masa kini.

Program tersebut bukan sekadar aktiviti kokurikulum, sebaliknya dianggap sebagai “makmal pembinaan karakter” yang dinamik serta terbukti berkesan untuk memupuk empati, membina kepercayaan dan memperkasa daya tahan mental pelajar.

Ia direka khas untuk pelajar dari pelbagai latar sama ada bagi menggilap potensi kepimpinan pelajar atau sebagai intervensi positif kepada pelajar yang menghadapi isu keyakinan diri, tekanan emosi dan motivasi rendah.

Bagi memastikan bimbingan yang fokus dan impak mendalam, setiap sesi dihadkan kepada 10 peserta sahaja.

Pihak sekolah di daerah Sibu digalakkan merebut peluang ini bagi memperkasa pembangunan sahsiah pelajar.

Untuk tempahan slot dan maklumat lanjut, boleh menghubungi Penolong Ketua Program SPL KKSRCS Ahmad Shuhaib Hamali di talian 019-4704980.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman