RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 merampas kira-kira 19,000 liter minyak diesel dan menahan seorang pemandu lori dalam satu operasi hasil maklumat risikan di kawasan Jalan Pu Dudong, di sini pada Rabu.
Komander PPM Wilayah 5 ACP Ab Rahman Mat Hasan berkata kejadian berlaku sekitar jam 3.15 petang ketika sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin (URM) menjalankan Op Taring Landai.
Menurutnya, pemeriksaan pertama ke atas sebuah lori tangki yang berada di tepi jalan mendapati kenderaan tersebut disyaki membawa 9,000 liter minyak diesel tanpa sebarang dokumen berkaitan pemilikan bahan kawalan itu.
“Pemeriksaan lanjut di kawasan tanah lapang berhampiran lokasi sama turut menemui sebuah lagi tanker dalam keadaan mencurigakan yang mengandungi kira-kira 10,000 liter minyak diesel, juga tanpa sebarang dokumen sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu lori terbabit, seorang lelaki tempatan, telah ditahan dan diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana gagal mengemukakan surat kebenaran, permit atau lesen berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan.
“Setelah proses dokumentasi selesai, URM PPM Wilayah 5 menyerahkan kes berkenaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sibu untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM230,850.
Menurut beliau, sesiapa yang disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki, menyimpan atau membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran khas boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya sekali.