Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Sistem Smart Parking terlaksana dengan perkembangan positif

Disiarkan pada 28 Jan 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) memaklumkan pelaksanaan sistem Smart Parking yang bermula pada 29 September lalu menunjukkan perkembangan positif, dengan jumlah maklum balas awam berkurangan secara ketara selepas minggu pertama pelaksanaan.

Jurutera MPS Tony Wong Tiing Huo berkata, peningkatan maklum balas pada peringkat awal adalah disebabkan orang ramai masih belum biasa dengan penggunaan aplikasi berkenaan.

Namun menurut beliau, keadaan kini semakin stabil apabila kebanyakan pengguna telah memahami kaedah penggunaan sistem tersebut.

“Sehingga minggu lalu, jumlah pengguna berdaftar telah melebihi 30,000 orang, dengan ratusan pendaftaran baharu diterima setiap hari,” katanya pada Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Sibu yang pertama bagi tahun ini hari ini.

Beliau berkata, jumlah itu dijangka meningkat kepada lebih 100,000 pengguna apabila sistem Smart Parking dilaksanakan sepenuhnya kelak.

“Buat masa ini, kita masih berada dalam tempoh peralihan, di mana Smart Parking dan kupon parkir fizikal masih diterima.

“Tempoh ini dijangka berakhir selewat-lewatnya Jun, selepas itu hanya sistem Smart Parking akan diguna pakai sepenuhnya,” jelasnya.

Mengulas kebimbangan melibatkan warga emas yang kurang mahir menggunakan aplikasi, Wong berkata isu berkenaan bukan hanya berlaku di Sibu, sebaliknya merupakan fenomena global sejajar dengan peralihan ke arah pendigitalan.

“Ini bukan dasar MPS semata-mata, sebaliknya selari dengan dasar nasional.

"Banyak perkhidmatan awam kini tidak lagi menerima bayaran tunai termasuk di Jabatan Imigresen.

*Kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan ini agar tidak ketinggalan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, aplikasi Smart Parking membolehkan ahli keluarga atau pihak ketiga membantu warga emas membuat bayaran parkir atau melanjutkan tempoh parkir dari jarak jauh.

Tambahnya, pelaksanaan sistem baharu itu juga memberi kesan positif terhadap kutipan tunggakan kompaun dan notis penalti apabila pengguna yang mendaftar menerima makluman terus selepas data sistem lama dipindahkan ke platform baharu.

“Hasil pemantauan sejak beberapa minggu lalu menunjukkan peningkatan ketara dalam pembayaran tunggakan, yang merupakan petanda positif kepada pemulihan hasil majlis,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan Smart Parking merupakan sebahagian daripada usaha MPS ke arah merealisasikan status Bandar Pintar dengan pelbagai inisiatif kesedaran awam.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman