RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili akan melapor diri ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada 16 Februari ini sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sarawak.
Beliau meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu selepas hampir empat tahun menerajui pasukan itu.
Sepanjang tempoh perkhidmatan di Sibu, Zulkipli berkata pelbagai cabaran berjaya ditangani hasil komitmen pegawai dan anggota dalam memastikan keselamatan masyarakat.
Antara pencapaian utama ialah kejayaan menurunkan indeks jenayah sebanyak 36.4 peratus pada tahun 2025.
“Penurunan ini membuktikan komitmen, pengetahuan, integriti dan kerjasama erat warga IPD Sibu,” katanya pada perhimpunan bulanan Ketua Polis Daerah Sibu di padang kawad IPD Sibu, pagi tadi.
Beliau yakin pegawai dan anggota, khususnya Bahagian Siasatan Jenayah, mampu meneruskan tugas dengan baik serta memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Mengulas cabaran sepanjang perkhidmatannya, Zulkipli berkata pengalaman bertugas di Kuala Lumpur, Johor dan Bukit Aman banyak membantu dalam mengaplikasikan kepakaran yang dimiliki.
“Dengan kesepakatan semua warga IPD Sibu, kami mampu melaksanakan tugas dengan baik,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama masyarakat, komitmen terhadap tugas dan integriti sebagai asas utama dalam menangani isu jenayah dan sosial.
“Sinergi antara agensi di Sibu amat membantu memastikan isu jenayah dan sosial ditangani secara berkesan,” katanya.
Zulkipli memaklumkan esok merupakan hari terakhirnya di IPD Sibu dan merakamkan penghargaan kepada semua rakan jabatan di peringkat Persekutuan dan negeri atas sokongan sepanjang beliau memegang jawatan itu.
Turut hadir pada majlis pagi tadi ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Pelawan Datuk Michael Tiang Ming Tee.