RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Sarawak Water Sdn Bhd (Wilayah Tengah) memaklumkan berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual di sini susulan kejadian paip utama jenis Mild Steel Cement Lined (MSCL) bersaiz 600mm dan 750mm yang dikesan pecah hari ini.
Menurut kenyataan media, insiden tersebut dilaporkan berlaku di dua lokasi berbeza iaitu di Jalan Brother Albinus, Pusat Tanahwang dan persimpangan Lorong Oya 27.
Susulan itu, kerja-kerja pembaikan bermula jam 10 malam kelmarin hingga 10 pagi semalam dengan tempoh pembaikan dianggarkan kira-kira 12 jam, tertakluk kepada keadaan di tapak dan faktor cuaca semasa.
Bagi melancarkan kerja-kerja tersebut, bekalan air ditutup sementara dalam tempoh berkenaan yang menyebabkan pengguna mengalami tekanan air rendah atau gangguan bekalan sepenuhnya.
Antara kawasan yang dijangka mengalami tekanan air rendah dan gangguan sementara termasuk sepanjang Jalan Salim merangkumi Sentosa, Taman Kenari, Bukit Lima Timur, Belatok, Jerrwit dan Saujana serta Jalan Lada, Sukun dan Then Kung Suk.
Kawasan lain terjejas meliputi Jalan Upper Lanang hingga Tanjung Kunyit, Paradom, Kampung Banyok, Selalo dan Sungai Assan; Jalan Lanang ke pusat bandar Sibu; Jalan Brooke Drive, Jalan Brother Albinus dan Jalan Wong Soon Kai.
Turut terlibat ialah sepanjang Jalan Oya hingga Oya Lama termasuk Jalan RTM, Jalan Unggas, Jalan Pahlawan, Jalan Pelangi, Jalan Sena, Jalan Payung, Jalan Camar, Jalan Diong Kik, Jalan Seladah dan Jalan Kandis; Kampung Datu hingga Kampung Nangka.
Gangguan juga melibatkan kawasan selepas Deshon B.S. seperti Jalan Apollo, Lilin, Sungai Merah, Kuang, Ulu Sungai Merah 1 hingga 31, Kwong Ann, Teng Chin Hua, Old Airport, Ding Lik Kong, Getah, Teku Barat, Disa dan IPD Sungai Merah, selain kawasan selepas Teku B.S. termasuk Jalan Quarry, Indah, Wawasan, Setia, Serai dan sepanjang Jalan Teku ke Pasai Siong, Rantau Panjang serta Tanjung Kibong dan seluruh Jalan Sungai Maaw hingga Bawang Assan.
Sebagai langkah bantuan, lori tangki air akan dikerahkan ke kawasan terjejas atas permintaan dengan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan penting.
Pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air kecemasan boleh menghubungi Sarawak Water Careline untuk penyelarasan lanjut.
Selain itu, sebahagian laluan jalan raya di lokasi pembaikan akan ditutup sementara bagi tujuan keselamatan dan pengguna jalan raya dinasihatkan agar berhati-hati serta mematuhi arahan pengurusan trafik di tapak.
Pihak Sarawak Water memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan menghargai kesabaran semua pelanggan yang terjejas.
Pengguna dinasihatkan agar menyimpan bekalan air secukupnya untuk kegunaan harian dan memberikan masa untuk sistem kembali stabil setelah bekalan disalurkan semula secara berperingkat selepas kerja pembaikan selesai.