RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Sarawak menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Youtuber Sarawak atas inisiatif memasang papan tanda bagi memperingati mendiang Mathew Medan di Nanga Tada, Kanowit, baru-baru ini.
Presidennya Jimbau Galau (gambar) berkata, usaha tersebut amat bermakna kerana ia bukan sahaja mengenang jasa mendiang, malah menjadi simbol penghormatan terhadap pengorbanan anggota keselamatan yang telah berjuang mempertahankan kedaulatan negara.
“PVATM Sarawak amat berterima kasih kepada Persatuan Youtuber Sarawak yang mengambil inisiatif memasang papan tanda ini sebagai tanda mengenang jasa seorang pahlawan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jimbau menambah bahawa papan tanda itu bukan sekadar huruf semata-mata, tetapi menjadi obor sejarah yang menyala di hati generasi muda agar mereka tidak melupakan pengorbanan perwira yang gugur demi keamanan negara.
“Keamanan yang kita nikmati hari ini bukan datang dengan mudah. Ia dibayar dengan darah dan nyawa para perwira negara yang sanggup mempertaruhkan segalanya demi mempertahankan tanah air,” ujarnya.
Mendiang Mathew Medan, seorang anggota komando, terkorban dalam insiden militan Al-Maunah di Sauk, Perak pada Julai 2000.
Beliau dikenang sebagai ‘Bujang Berani’ yang gugur ketika menjalankan tugas menentang kumpulan militan demi keselamatan negara.
“Pengorbanan mendiang adalah bukti nyata bahawa keberanian anak Sarawak tidak pernah luntur.
“Kisah beliau umpama bintang yang terus berkelip di langit sejarah dan menjadi teladan kepada generasi muda,” tegas Jimbau.
Beliau berkata, pemasangan papan tanda di kampung halaman mendiang diharap menjadi simbol penghargaan berterusan terhadap jasa beliau serta memastikan kisah keberanian wira negara itu terus dikenang sepanjang zaman.
“Kami berharap lebih banyak pihak, termasuk komuniti setempat, tampil bersama memelihara sejarah dan menghargai jasa para perwira negara agar semangat patriotisme terus subur dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya.
“Kami berharap lebih banyak pihak termasuk komuniti setempat tampil bersama memelihara sejarah dan menghargai jasa para perwira negara agar semangat patriotisme terus subur dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.