RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Polis telah memberkas seorang lelaki disyaki terlibat dalam kejadian serangan bersenjata di sebuah kedai kopi di sini yang videonya tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Azari Miskon (gambar) berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.
“Suspek telah ditahan dan polis memperoleh perintah reman selama enam hari sehingga 12 April ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Rakaman video kejadian memaparkan sekumpulan individu sedang duduk di kedai kopi pada awal pagi sebelum seorang lelaki tiba-tiba menghampiri lalu menyerang seorang mangsa dari arah belakang.
Bagaimanapun, tindakan pantas rakan mangsa yang melawan menyebabkan suspek panik sebelum melarikan diri.
Kejadian itu mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas video berkenaan dikongsi secara meluas di media sosial.
Bertindak atas maklumat dan rakaman tular, polis menjalankan siasatan segera sebelum berjaya menahan suspek.