Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Penyanyi legenda Iban Jenny Tan meninggal dunia

Disiarkan pada 07 Apr 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online

SIBU: Industri muzik Iban berduka atas pemergian penyanyi lagenda Jenny Tan yang meninggalkan legasi seni sukar diganti.

Berita duka itu disahkan Rickie Anderson melalui hantaran Facebook yang menzahirkan kesedihan atas kehilangan figura penting tersebut.

“Perginya seseorang yang berpengaruh dalam industri muzik Iban, hilang tiada pengganti, Puan Jenny Tan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mendiang bukan sahaja terkenal sebagai penyanyi ternama, malah juga pengasas Golden Pearl Studio Kuching yang mula beroperasi sejak awal 1990-an.

Melalui studio itu, beliau berjaya mencungkil dan membimbing ramai artis berbakat termasuk Maxwell Franklin Saran, Timothy, Betty malah suaminya sendiri Jennarino Jeraki. 

Golden Pearl Studio dikenali menerusi lagu-lagu joget asli Iban yang mempunyai ‘trademark’ tersendiri dalam kalangan peminat muzik tempatan.

“Keunikan dan rentak lagu-lagu joget asli yang dibawa beliau sukar ditemui di tempat lain.

“Setiap lagu yang diterbitkan kekal diminati dan tersebar ke seluruh pelosok, kini turut dinikmati secara maya oleh pendengar,” tambah Rickie.

Katanya, pemergian mendiang, yang popular menerusi lagu seperti Lelaki dan Dara Mereti, merupakan satu kehilangan besar dalam dunia seni Iban.

Menurut Rickie, walaupun pemergian beliau meninggalkan ruang yang sukar diganti, karya dan pengaruh Jenny Tan dijangka terus hidup dalam hati peminat serta generasi artis akan datang.

Sementara itu, menurut hantaran Facebook Media Hiburan Sarawak, penyanyi berkenaan telah menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 10.40 malam pada Isnin.

Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di kediamannya di Taman Greenwood, Batu 9 di Kuching.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman