Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Rumah Siling Balit teruskan tradisi 'manduk Gawai'

Posted on 10 May 2023
Source of News: Utusan Borneo
 Catherine (kiri) memerhatikan penduduk memasukkan pulut ke dalam buluh.

PROSES: Catherine (kiri) memerhatikan penduduk memasukkan pulut ke dalam buluh.

KANOWIT: Penduduk Rumah Siling Balit di Nanga Nirok di sini meneruskan tradisi 'manduk Gawai' sebagai tanda persiapan menyambut perayaan Hari Gawai Dayak pada Sabtu lalu.

 

Menurut isteri Tuai Rumah Siling Balit, Catherine Boniface, 'manduk Gawai' ialah aktiviti memasak pulut untuk membuat tuak yang dilakukan bersama penduduk di 'pendai' (tempat mandi di tepi sungai).

"Ini adalah tradisi rumah panjang kami sejak dahulu lagi dan ia dilakukan setiap tahun apabila sambutan Hari Gawai Dayak semakin hampir.

“Tahun ini, penduduk lapan daripada 11 pintu rumah panjang kami mengambil bahagian dalam aktiviti itu dan setiap pintu membawa lima kilogram pulut.

"Ini hanya simbolik kerana ada antara kami yang sudah menyediakan tuak lebih awal," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Catherine berkata, persiapan untuk 'manduk Gawai' bermula sehari lebih awal dengan merendam pulut semalaman.

Katanya, pada hari itu kaum lelaki yang diketuai tuai rumah keluar awal pagi untuk mencari buluh dan menyediakan kayu api.

“Wanita dan penduduk rumah panjang lain kemudian berkumpul di ‘pendai’ membawa bersama makanan dan minuman yang akan dikongsi sepanjang aktiviti itu.

“Aktiviti itu dimulakan dengan bacaan doa yang diketuai Gani Buja memandangkan majoriti penduduk di sini menganut agama Kristian.

"Buluh itu akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum disumbat dengan pulut.

"Keseluruhan proses itu mengambil masa antara empat hingga lima jam," ujarnya.

Selesai proses memasak, penduduk rumah panjang akan membawa pulang pulut dan membiarkannya sejuk sebelum ditabur yis.

Ia akan ditapai sekurang-kurangnya dua minggu dan hanya selepas itu air masak yang telah disejukkan dan gula boleh dituangkan ke dalam adunan yang telah ditapai.

“Bancuhan itu akan dibiarkan terperam sehingga sedia untuk dihidangkan semasa sambutan Gawai.

“Manduk Gawai ini merupakan tradisi yang digemari bukan sahaja oleh warga emas tetapi juga generasi muda rumah panjang kami.

"Mereka yang bekerja di bandar berhampiran akan pulang ke rumah panjang ini semata-mata untuk menyertai kami dalam aktiviti meriah ini yang dilakukan bersama sanak-saudara dan rakan di rumah panjang," tambahnya.



image Undian
image Pengumuman