RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

SIBU: Sarang lebah sebesar bola sepak berjaya dimusnahkan sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM) di koridor luar aras 3 di Flat C1 di Hospital Sibu malam semalam.
Kehadiran serangga berkenaan yang dikesan berterbangan berhampiran flat tersebut menggerakkan penghuni di situ untuk menghubungi talian hotline APM bagi mendapatkan khidmat khas memusnahkan sarang serangga berbisa itu.
Jurucakap APM Sibu berkata, sepasukan anggota dikerah ke lokasi untuk khidmat memusnahkan sarang serangga sebaik menerima panggilan jam 8.15 malam.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota terus menjalankan kerja-kerja memusnahkan sarang lebah tersebut dengan menggunakan kaedah semburan," katanya melalui kenyataan media hari ini.
Katanya, keadaan terkawal selepas sarang lebah tersebut berjaya dimusnahkan.
Untuk bantuan, orang ramai boleh menghubungi APM Sibu untuk sebarang kecemasan di talian kecemasan 999 atau hotline APM Sibu 084-220044 (24 jam).