Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Jejak Warisan Sibu perlu dihidupkan semula: Abdul Karim

Posted on 25 Jul 2023
Source of News: Utusan Borneo
Pertunjukan bunga api memeriahkan penutupan BCF 2023 di Sibu malam tadi.

Pertunjukan bunga api memeriahkan penutupan BCF 2023 di Sibu malam tadi.

SIBU: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata adalah penting menghidupkan semula Jejak Warisan Sibu.

 

Beliau berkata, semua zon bersejarah perlu diselenggara dan dipromosikan dengan baik seperti bandar lama, Pusat Warisan Sibu, Masjid Al-Qadim, Taman Peringatan Hoover dan tapak warisan lain.

“Kemudian adalah penting mengadakan lebih banyak program 'outreach' untuk melibatkan masyarakat khususnya anak-anak kita di sekolah," katanya pada Majlis Penutupan Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) 2023 di sini malam tadi.

Hadir sama isterinya, Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Pentas I (Pelancongan) Datu Sherrina Husaini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola BCF 2023 Mohammed Abdullah Izkandar.

Dengan 'outreach' itu katanya, ia dapat membantu menyemai semangat jati diri dan kekitaan generasi muda. 

Menurutnya, ia juga menunjukkan kepentingan terhadap seni, budaya dan warisan di mana setiap daripada kita boleh menyumbang dan membantu untuk memelihara, sama ada secara individu atau kolektif.

"Hidup adalah seni dan seni adalah kehidupan. Oleh itu, mata pencarian adalah sebahagian daripada budaya.

“Ibu bapa dan datuk nenek memainkan peranan penting dalam menyediakan cerita tentang masa silam, maklumat sejarah, sentimen dan nilai kita kepada anak dan cucu," jelasnya.

Terdahulu, Abdul Karim berkata BCF bermula pada 2003 dan dianjurkan secara berterusan sejak itu kecuali tempoh pandemik lalu.

Katanya, BCF menjadi acara pelancongan paling penting dalam kalendar pelancongan Majlis Perbandaran Sibu (MPS).

“Dengan itu, pelancongan budaya pasti membawa kepada impak ekonomi dan sosial positif, ia membantu memanfaatkan terutamanya pemeliharaan warisan budaya dan sejarah serta memudahkan keharmonian dan persefahaman kalangan manusia dan masyarakat,” katanya.

Mengenai perkara lain, Abdul Karim berkata, kerajaan telah memperuntukkan 500 ekar tanah di bawah Lembaga Perlindungan dan Pembangunan Tanah (LCDA) untuk menggiatkan dan memperbaharui pusat bandar Sibu.

"Ia kini dalam proses dan apabila siap menyaksikan perubahan keseluruhan kawasan pusat bandar Sibu. 

“Pelan itu menambahkan kepelbagaian Sibu dan mengubah sepenuhnya wajah Sibu pada masa depan,” jelasnya.



image Undian
image Pengumuman