RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

SIBU: Orang ramai digemparkan dengan kehadiran asap tebal dari sebuah stesen minyak di Jalan Sungai Maaw sekitar jam 8.42 pagi tadi kerana menyangka berlaku kebakaran besar.
Bagaimanapun, kejadian itu hanyalah latihan kecemasan yang dijalankan oleh pihak pengurusan Kumpulan Sri Minyak dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, Balai Polis Sungai Merah, Hospital Sibu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sibu serta agensi-agensi lain.
Latihan kecemasan itu dijalankan bagi meningkatkan kesiapsiagaan kakitangan stesen minyak Shell itu dalam menghadapi sebarang kemungkinan kemalangan dan bencana.
Latihan membabitkan senario kecemasan di stesen minyak iaitu kebakaran pada kenderaan ketika mengisi minyak dan kemalangan lori tangki minyak dengan sebuah kenderaan.
Menurut Ketua BBP Sungai Merah Abdul Mutalif Ja'afar, kakitangan Shell yang terlibat dengan latihan itu telah menjalani kursus kecemasan selama tiga hari di BBP Sungai Merah.
"Mereka semua telah diajar bagaimana berhadapan dengan situasi kecemasan seperti menggunakan alat pemadam api, memindahkan mangsa sementara menunggu bantuan sampai," katanya.
Mengenai simulasi kecemasan itu, Mutalif berkata, seramai lima 'mangsa 'berjaya diselamatkan membabitkan tiga pemandu dan dua orang awam.
Beliau berkata, operasi menyelamat dan memadam kebakaran membabitkan 12 anggota bomba, lima anggota APM dan empat kakitangan Hospital Sibu.
Turut terlibat ialah tujuh anggota polis bagi memastikan keselamatan orang awam dan mengawal lalu lintas.
Operasi tamat sekitar jam 9.25 pagi.

Hadir sama pada latihan simulasi kecemasan itu ialah pengasas Kumpulan Sri Minyak Dato William Tiu serta isteri Datin Siew Kim Geok, Pengurus Besar Kumpulan Sri Minyak Amelia Tiu serta yang lain.