Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Sibu mampu anjur acara besar

Disiarkan pada 16 Jan 2024
Sumber Berita: Utusan Borneo
Gerald bersama tetamu kehormat yang lain merakam kenangan bersama atlet SUKSAR 2024 pada majlis pembukaan temasya tersebut di Stadium Tertutup Sibu hari ini.
Gerald bersama tetamu kehormat yang lain merakam kenangan bersama atlet SUKSAR 2024 pada majlis pembukaan temasya tersebut di Stadium Tertutup Sibu hari ini.

Oleh Watt Zacchaeus

SIBU: Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu yakin Sibu mampu menganjurkan acara sukan yang lebih besar selepas penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR).

Menurutnya, dengan memiliki fasiliti sukan yang baik seperti Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibu Jaya yang bertaraf dunia, Sibu boleh terlibat dalam mana-mana penganjuran sukan.

"Kenapa tidak, Sibu juga memiliki kemudahan sukan yang baik sejajar dengan pembangunan sukan.

"Begitu juga dengan sistem teknikalnya, kita harus sentiasa mengemas kini dengan teknologi baharu sukan mengikut peredaran zaman," katanya semasa ditemui pemberita selepas merasmikan SUKSAR Ke-3 di Stadium Tertutup Sibu di sini, hari ini.

Rentap yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar berkata, pembangunan sukan serta teknikalnya sangat penting untuk pembangunan para atlet.

"Saya bangga kerana Sibu mempunyai kemudahan dan kelengkapan latihan juga untuk sukan. Begitu juga kita harus mempunyai peralatan yang cukup untuk atlet," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa atlet yang memperolehi pingat dalam SUKSAR akan dinilai sebelum diserap dalam Sukan Malaysia (SUKMA). 

Ini kerana jelasnya, setiap sukan mempunyai tahapnya sendiri untuk menilai atlet-atlet berkenaan.

"Pemenang pingat SUKSAR akan dinilai dulu, lihat prestasi kerana setiap sukan perlu ada tahapnya sendiri untuk mewakili Sarawak dalam SUKMA," jelasnya.

Mengenai penganjuran SUKMA di Sarawak pada Ogos nanti, beliau berkata ia kini hanya tinggal 215 hari lagi untuk penganjurannya.

"Besar harapan Sarawak seperti hasrat Premier Sarawak agar kita menjuarai SUKMA XXI pada tahun ini. 

“Saya juga ingin menyampaikan hasrat Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, agar penganjuran temasya SUKSAR 2023 Edisi Ketiga ini dapat menyemarakkan semangat setiap atlet Sarawak demi mencapai sasaran untuk menjadi johan SUKMA kelak," tegasnya.

Seramai 1,365 atlet daripada empat zon di Sarawak iaitu Zon Selatan, Barat, Tengah dan Utara akan bertanding serta merebut kejuaraan pada edisi kali ini.

Sebanyak 13 acara sukan dipertandingkan antaranya angkat berat, berbasikal, bola keranjang, bola tampar, futsal, hoki dewan, judo, karate, pencak silat, sepak takraw, taekwondo, tinju dan wushu.

Jumlah keseluruhan pingat yang ditawarkan ialah sebanyak 178 pingat emas dan perak dan serta 279 pingat gangsa untuk temasya selama empat hari itu.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, Setiausaha Tetap Kementeria Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Morshidi Frederick, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng, Residen Bahagian Sibu Datu Wong Hee Sieng serta tetamu jemputan lain.



image Undian
image Pengumuman