RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

SIBU: Acara ‘Sibu RC Powerboat Race River Challenge 2024’ dijangka bakal mencuri tumpuan ramai dengan penyertaan seramai 137 pelumba dari dalam dan luar negara.
Dalam sidang media pada Isnin, Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, mengumumkan bahawa acara yang akan berlangsung dari 13 hingga 15 Disember 2024 di Waterfront Pulau Li Hua, Sungai Rejang, Sibu, bakal menyaksikan 514 bot kawalan jauh bersaing.
“Sibu RC Powerboat Race River Challenge 2024 merupakan perlumbaan bot kawalan jauh (RC) pertama yang diadakan di Waterfront Pulau Li Hua.
“Acara ini bukan sahaja memperkenalkan Sibu sebagai destinasi pelancongan sukan air tetapi juga memberi pendedahan kepada sukan bot kawalan jauh di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Sekiranya acara ini berjaya, ia akan diadakan lagi pada tahun 2025 di lokasi yang sama,” katanya.
Acara ini dianjurkan oleh Pasukan Petugas Pelancongan Bahagian (DTTG) Sibu dan AB Racing Team dengan sokongan Pusat Khidmat N.52 Dudong dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP).
Rakan strategik termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Li Hua dan Style Tailor, dengan kerjasama daripada Lembaga Sungai Sarawak (LSS) Sibu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sibu, Polis Marin Wilayah 5 (Sibu), Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Sibu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sibu, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sibu, dan Hospital Sibu.
Menurut Abang Mohamad, antara pelumba yang akan mengambil bahagian termasuk dua peserta dari UAE, seorang dari Qatar, dua dari Thailand, dan 20 dari Brunei.
Beliau berkata, para pemenang akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai dan trofi, dengan juara menerima RM2,000 dan trofi, naib juara RM1,500 dan trofi, tempat ketiga RM1,000 dan trofi, keempat RM300 dan trofi, kelima RM200 dan trofi, manakala tempat keenam hingga kesepuluh akan menerima trofi sahaja.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong pada 13 Disember, jam 9.30 pagi.
Selain daripada perlumbaan, acara ini turut menawarkan pameran RC Powerboat di khemah peserta, gerai makanan dan minuman, serta jualan cenderamata eksklusif oleh DTTG Sibu.
Pengunjung boleh memasuki tapak acara secara percuma.
Semua warga Sibu dan pelancong dijemput hadir untuk menyaksikan aksi mendebarkan daripada para pelumba yang bertanding.