RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sibu No.2 (SKBSN2) merupakan sebuah sekolah yang unik dan istimewa di mana Lembaga Pengurusan Sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru-guru serta murid-murid hidup dalam suasana penuh keharmonian.
Bekas guru besarnya Lily Chiong berkata, walaupun sekolah terdiri daripada masyarakat yang berbilang bangsa, budaya, bahasa dan latar belakang yang pelbagai, semua tetap bersatu hati demi kepentingan pendidikan dan masa depan murid-murid.
"Semangat 1Malaysia dan kini Malaysia MADANI jelas dapat dirasai di sekolah ini.
"Perpaduan dan semangat muhibah yang terpancar dalam kalangan warga sekolah amat mengagumkan dan patut dihargai," ujarnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam SKBSN2 di sebuah hotel di sini, malam semalam.
Majlis juga bagi meraikan Chiong yang akan berpindah serta guru besar baharu Vong Kiong Ming.
Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pengurusan SKBSN2 Doubline Spencer serta Timbalannya Kong Hian Khim.
Menurut Chiong, sepanjang berkhidmat di SKBSN2 mulai 24 September 2020, beliau semakin memahami betapa pentingnya pendidikan inklusif dan pendidikan prasekolah.
"Saya juga belajar untuk menerima keunikan murid-murid berkeperluan khas (MBPK).
"Saya melihat sendiri bagaimana guru-guru di sekolah ini mendidik dengan penuh kesabaran, kasih sayang dan empati terhadap murid serta ibu bapa mereka.
"Tidak kira pendidikan prasekolah, pendidikan khas atau kelas perdana, guru-guru di sini sentiasa berusaha untuk menyediakan pelbagai aktiviti akademik dan kokurikulum yang menarik.
"Kesungguhan dan kreativiti kalian benar-benar menyentuh hati saya," jelasnya.
Sementara Vong dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Chiong atas kepimpinan cemerlang yang telah membangunkan sekolah terbabit.
"Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan Lembaga Pengurus Sekolah, saya berjanji untuk memikul tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi dan berusaha memastikan sekolah terus maju.
"Saya berharap dapat bekerjasama dengan semua pihak untuk memberikan pendidikan terbaik kepada murid dan mencapai kecemerlangan lebih tinggi.
"Semoga Guru Besar Puan Lily Chiong terus berjaya dan saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua," ujarnya.