RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Persatuan Bekas Staf RASCOM (Awam) Sibu telah diluluskan penubuhannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 13 Februari lalu.
Dipengerusikan Belayong Pok, persatuan ini dianggotai bekas staf dalam komponen RASCOM (Awam) yang pernah berkhidmat dengan RASCOM sejak penubuhannya pada 26 Mac, 1972 sehingga dibubarkan pada 1995.
Setakat ini, persatuan itui mempunyai seramai 32 bekas staf RASCOM (Awam) yang telah mendaftar sebagai ahlinya.
Menurut kenyataan persatuan kepada pemberita pada Khamis, matlamat persatuan ini adalah untuk menyatukan bekas staf dalam satu gabungan kekeluargaan.
Ia juga menjadi landasan untuk saling membantu antara satu sama lain, di samping memelihara, menjaga dan memperjuangkan kepentingan serta keperluan kebajikan ahli termasuk ahli keluarga terdekat dan juga pewaris bekas staf yang telah meninggal dunia.
Mengulas lanjut, kenyataan itu memberitahu komponen staf RASCOM (Awam) merupakan satu daripada tiga komponen utama dalam pembentukan struktur organisasi RASCOM.
"Komponen staf RASCOM (Awam) bertindak merancang strategi dan menggerakkan aktiviti atau program melalui gerakan seperti Gerakan Perang Saraf yang menyantuni masyarakat tempatan di kawasan operasi RASCOM supaya tidak mudah terperdaya dan terpengaruh dengan propaganda pengganas komunis.
"Pendekatan bersepadu diselaraskan tiga komponen utama iaitu pasukan tentera, polis dan awam yang digerakkan secara strategik akhirnya membuahkan kejayaan yang sangat berkesan sehingga berjaya membanteras dan melenyapkan ancaman pengganas komunis dan memulihkan keadaan kehidupan di kawasan Sungai Rajang kembali aman dan tenang," kata maklumat itu.
Sementara itu, majlis perjumpaan semula melalui jamuan makan tengah hari telah diadakan pada 26 April lalu di sebuah hotel di sini.
Tujuannya dilihat sebagai titik permulaan bagi mengesan dan menyatukan bekas staf RASCOM (Awam) agar terus mengambil peluang mendaftar sebagai ahli.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Anthony Luta, Setiausaha Catherine Kundau dan semua ahli jawatankuasa serta ahli-ahlinya.
RASCOM satu ketika dahulu dikenali sebagai 'Rajang Area Security Command' atau Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang yang mana penubuhannya tercetus daripada beberapa insiden ancaman, kekacauan, pemusnahan harta benda awam.
Paling tragik ialah pembunuhan ganas ketua masyarakat dan pegawai polis oleh pengganas komunis di Bahagian Ke-3, Ke-6 dan Ke-7 Sarawak ketika itu oleh ahli-ahli Biro Kedua Parti Komunis Kalimantan Utara (BKPKKU).