RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Pengenalan pelbagai program, polisi dan sebagainya oleh Kerajaan Sarawak telah menjadikan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) semakin menarik minat pelajar ketika ini.
Mengimbau kembali penubuhan UTS 10 tahun lalu, yang hanya mempunyai jumlah pelajar kurang daripada 1,000 orang, Pengerusi Lembaga UTS, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, ramai yang tidak mampu belajar di situ disebabkan oleh yurannya yang amat tinggi.
Sambil memberi contoh, katanya, yuran bagi kursus kejuruteraan di UTS sahaja berjumlah RM70,000 bagi tempoh empat tahun.
“Namun semenjak saya mengambil alih pengurusannya, saya menukar pendekatan dan objektifnya.
“Saya telah bertemu dengan Premier dan Yayasan Sarawak bagi membincangkan bagaimana untuk mengurangkan yurannya selain menarik lebih ramai kemasukan pelajarnya.
“Dengan memperkenalkan pelbagai polisi, pemberian diskaun, program, biasiswa, pengajian ‘foundation’ dan sebagainya, UTS kini mempunyai seramai 3,600 pelajar, jumlah tertinggi antara institusi-institusi pendidikan milik Kerajaan Sarawak,” tegasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Ekspo Pendidikan Sibu 2024 di sini semalam.
Rentetan itu, beliau yakin bahawa UTS akan mencapai 4,000 pelajar pada September ini seperti yang mereka sasarkan.
Selain mencapai jumlah pelajar yang disasar, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I itu, mereka akan berusaha menaikkan ranking UTS dan standard kelayakan pelajarnya.
Tegasnya, tujuannya adalah untuk menjadikan UTS sebuah universiti pilihan rakyat Sarawak, khususnya masyarakat di Sibu.
“Kami memerlukan kerjasama semua masyarakat, khususnya ibu bapa, guru, pengetua, guru besar dan pelajar supaya merebut peluang untuk belajar di UTS.
“Dengan segala polisi dan objektif UTS, saya yakin universiti ini adalah pilihan tepat untuk anda semua, generasi Sibu,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu.
Sehubungan itu, Dr Annuar menjemput pelajar lepasan SPM yang tidak mendapat tawaran belajar di matrikulasi untuk melanjutkan pengajian mereka di UTS.
Hadir sama ialah Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, dan Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak, Watson Chunggat Leonard Doo.