RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad mencadangkan agar penganjuran Program Pemantapan Personel Ketua Masyarakat Ketua Kaum (KMKK) DUN N.43 Daro diteruskan pada masa depan.
Katanya, penganjuran program tersebut merupakan pendekatan terbaik untuk memperkasa KMKK khursusnya di kawasan N.43 Daro di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Sibu dengan maklumat-maklumat terkini.
"Saya percaya dengan adanya maklumat-maklumat terkini akan membantu mereka melaksanakan tugas dengan lebih baik.
"Saya menggunakan kesempatan ini selain daripada program yang biasa saya buat iaitu pemimpin bersama penduduk rumah panjang, ini adalah usaha kita mengumpulkan kesemua mereka," ujarnya.
Safiee memberitahu, kawasan N.43 Daro di bawah pentadbiran daerah Sibu mempunyai 23 rumah panjang.
Ujarnya, beliau menggunakan sebaik-baiknya untuk memaklumkan KMKK tentang status terkini projek-projek pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan ini.
"Dan memudahkan kita mendapatkan kerjasama daripada mereka untuk bersama-sama membantu kelancaran sesuatu projek pembangunan, kawasan ini masih memerlukan projek yang besar seperti jalan, bekalan elektrik, bekalan air dan sebagainya.
"Jadi inilah satu pendekatan yang baik dan saya telah cadangkan tadi supaya diteruskan pada masa akan datang.
"Kerjasama antara Pusat Khidmat N.43 Daro, Pejabat Daerah Sibu dan Pejabat Residen Bahagian Sibu sudah pasti memberi kebaikan kepada kawasan-kawasan di bawah pentadbiran daerah Sibu ini," ujarnya.
Pada program tersebut, telah diadakan penyampaian Anugerah JKKK Tahun 2023 dan 2024 yang dimenangi JKKK Sungai Sebinjai Rumah Hudson Madut.
Turut diadakan penyampaian Insentif Tadbir Urus JKKK Tahun 2024 dan Sejati Madani.
Turut hadir ialah wakil Residen Bahagian Sibu Haider Kowel Bete, wakil Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sarawak Sophia Gira dan Temenggung Stanley Geramong Bandar.