RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) diingatkan bahawa kepimpinan yang berkesan bukan hanya terletak pada kemampuan untuk memimpin.
Ia juga bergantung pada kebolehan untuk mendengar, berkomunikasi dengan baik, dan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam masyarakat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuj Seri Tiong King Sing, menegaskan bahawa selain daripada memimpin, pemimpin masyarakat, termasuk setiausaha jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK), perlu memperkukuh hubungan dengan pihak berkuasa dan semua pihak berkepentingan bagi memajukan kesejahteraan kampung.
“Kepimpinan kita bukan hanya tentang memimpin, tetapi juga tentang mendengar, memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat.
“Saya juga ingin mengingatkan bahawa kepimpinan yang baik memerlukan komunikasi yang berkesan dan kerjasama dengan semua lapisan masyarakat,” jelas King Sing, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong.
Ucapan teks King Sing dibacakan oleh Pegawai Khasnya, Agatha Ting, yang mewakilinya untuk menyempurnakan Majlis Penutupan Program Pemantapan Personel KMKK dan JKKK Daerah Sibu (DUN N.52 Dudong) di sini pada Khamis.
King Sing berkata, program ini bukan hanya bertujuan untuk memberikan pengetahuan tambahan, tetapi yang lebih penting adalah memberi peluang kepada para peserta untuk memperkukuhkan peranan mereka sebagai pemimpin dalam masyarakat.
“Anda adalah tonggak kepada komuniti masing-masing.
“Anda adalah penghubung antara rakyat dan pihak berkuasa, serta ejen perubahan yang membawa kemajuan dalam kehidupan kampung.
“Tugas ini bukan mudah, tetapi ia adalah tanggungjawab yang amat penting,” kata Ahli Parlimen Bintulu itu.
Pada majlis tersebut, sebanyak 65 JKKK menerima insentif ‘tadbir urus’ untuk tahun ini, manakala lima lagi JKKK layak untuk menerima cek peruntukan program Sejati MADANI.
Selain itu, JKKK Ulu Durin dinobatkan sebagai JKKK Cemerlang untuk kawasan Dudong bagi tahun 2023 dan 2024.