RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Isu keselamatan jalan raya memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak, bukan hanya bergantung kepada usaha pihak berkuasa semata-mata.
Demikian penegasan Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman yang menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk memainkan peranan aktif dalam mengekang kadar kemalangan di kawasan ini.
Dalam ucapannya semasa menyempurnakan Program Ops Gawai Bahagian Sibu di Stesen Minyak Petronas Jalan Lanang Barat di sini hari ini, beliau menekankan keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab kolektif yang harus dipikul bersama oleh pengguna jalan raya, agensi kerajaan, kontraktor serta pihak berkuasa tempatan.
"Keselamatan bukan terletak di bahu pihak polis atau penguat kuasa semata-mata.
"Semua pengguna jalan perlu memainkan peranan, bermula daripada sikap berhati-hati di jalan raya hingga kepada mematuhi undang-undang lalu lintas," ujarnya.
Abang Mohamad Porkan turut mendedahkan statistik dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 683 kes kemalangan telah direkodkan di Bahagian Sibu dari Januari hingga April tahun ini, dengan 13 nyawa terkorban.
Angka ini menurut beliau, bukan hanya data semata-mata, tetapi mewakili kisah duka keluarga yang kehilangan insan tersayang.
Beliau turut menegaskan pentingnya perubahan sikap dalam kalangan pengguna jalan raya seperti tidak memandu dalam keadaan mengantuk, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan mematuhi had laju bagi memastikan inisiatif keselamatan benar-benar berkesan.
Tanggungjawab terhadap keselamatan jalan raya katanya, juga dipanjangkan kepada kontraktor dan pelaksana projek infrastruktur.
Abang Mohamad Porkan menyeru agar semua projek pembinaan jalan dilaksanakan dengan penuh integriti, mengikut spesifikasi dan dipantau secara konsisten.
"Setiap pihak ada peranan tersendiri, kontraktor mesti bekerja dengan jujur dan telus, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak berkuasa tempatan pula perlu proaktif dalam pemantauan.
"Hanya dengan kerjasama semua, kita boleh memastikan jalan raya yang dibina selamat dan berkualiti," katanya.
Program Ops Gawai tersebut adalah antara inisiatif Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Sibu bagi memperkukuhkan kesedaran keselamatan jalan raya, khususnya menjelang musim perayaan yang sering menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.
Hadir sama ialah Kaunselor Paul Teo mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Pegawai Daerah Sibu Wee Teck Min serta tetamu jemputan yang lain.