RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) memainkan peranan penting sebagai penghubung antara masyarakat dan kerajaan dalam menjayakan pelbagai program kemasyarakatan serta memperkasa hak pengguna.
Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata penyerahan watikah pelantikan kepada ahli majlis MTPN bukan sekadar simbolik, sebaliknya satu pengiktirafan kepada komitmen dan sumbangan mereka sebagai barisan hadapan yang mewakili suara rakyat.
"Anda semua adalah pengantara antara kerajaan dan masyarakat, di mana tanggungjawab ini memerlukan keikhlasan, integriti dan semangat kerja berpasukan demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penghargaan dan Penyerahan Watikah Pelantikan MTPN Cawangan Sibu 2025 di Dewan Kompleks Islam, di sini, malam tadi.
Majlis itu turut dihadiri Naib Presiden Kebangsaan MTPN Kevin Lo yang juga Yang Dipertua MTPN Sabah, Pengerusi MTPN Cawangan Sibu Lucas Lau serta tetamu kehormat lain termasuk wakil agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Abang Mohamad Porkan turut merakamkan penghargaan kepada MTPN Cawangan Sibu yang disifatkan berjaya melaksanakan pelbagai program memberi impak langsung kepada rakyat, termasuk bantuan banjir dan majlis kebajikan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, kerjasama erat antara NGO dan agensi kerajaan seperti yang digerakkan oleh MTPN mampu merapatkan hubungan dengan komuniti dan membina jaringan sokongan sosial yang lebih utuh.
"Saya yakin dengan semangat 'Segulai Sejalai' dan nilai kecemerlangan yang diterapkan, MTPN Sibu akan terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan komuniti," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa penganugerahan bukanlah ukuran mutlak kepada kejayaan, sebaliknya satu cabaran untuk terus memberi yang terbaik dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat.
"Saya percaya, MTPN akan terus dikenali dan dihormati sekiranya terus memberikan perkhidmatan yang baik dan berkualiti kepada masyarakat, di mana sahaja berada.
"Ini selaras dengan moto MTPN Cawangan Sibu, iaitu MTPN Prihatin," ujarnya.