RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Cawangan Sibu telah mengendalikan lebih 50 kes berkaitan aduan pengguna sejak mula beroperasi pada Ogos 2023.
Pengerusinya Lucas Lau, berkata jumlah itu membuktikan keperluan kewujudan MTPN sebagai badan yang memainkan peranan penting dalam membela hak pengguna di peringkat akar umbi.
Katanya, meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk persepsi luar, MTPN Sibu kekal komited memperjuangkan kesejahteraan pengguna dengan sokongan padu masyarakat setempat.
"Kami bermula dengan hanya beberapa pegawai dan ahli majlis yang bersemangat tinggi.
"Namun, berkat iltizam dan kepercayaan masyarakat, kami telah mengendalikan lebih 50 kes membabitkan pelbagai isu kepenggunaan.
"Kes-kes ini adalah bukti betapa pentingnya peranan kami dalam melindungi pengguna daripada penipu dan salah laku dari peniaga yang tidak bertanggungjawab," katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan dan Penyerahan Watikah Perlantikan MTPN Cawangan Sibu 2025 di Dewan Kompleks Islam, di sini, malam tadi.
Majlis dirasmikan oleh Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.
Mengulas lanjut, Lucas turut menzahirkan penghargaan kepada beberapa agensi kerajaan termasuk Pejabat Residen Bahagian Sibu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Pejabat Penerangan Sibu atas kerjasama erat yang terjalin dalam melaksanakan program kepenggunaan.
Sementara itu, Naib Presiden Kebangsaan MTPN Kevin Lo, yang juga merupakan Yang Dipertua MTPN Sabah, dalam ucapannya menyeru semua pemimpin dan anggota MTPN agar sentiasa menunaikan amanah dengan penuh integriti serta kasih sayang terhadap masyarakat.
"Lantikan dalam MTPN bukan sekadar jawatan, tetapi satu tanggungjawab besar untuk menjadi suara kepada golongan yang terpinggir serta cahaya kepada mereka yang dalam kesusahan," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan, para sukarelawan, serta semua pihak yang telah menyumbang masa, tenaga dan idea dalam usaha memperkukuh kekuatan MTPN di seluruh negara.
Hadir sama Pegawai Penerangan Daerah Sibu Zaini Morshidi dan yang lain.