Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

11 barangan ditetapkan di bawah SHMMP Gawai Dayak

Posted on 27 May 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Sebanyak 11 jenis barangan keperluan ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Gawai Dayak 2025 bagi bahagian Sibu.

Menurut Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sibu Kelyn Bolhassan@ Haliward, skim ini akan berkuat kuasa selama tujuh hari bermula 29 Mei hingga 4 Jun.

“Skim ini meliputi barangan keperluan harian seperti ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih dari China, kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing), cili kering kerinting, kelapa biji, kelapa parut, santan serta tiga jenis daging babi iaitu babi hidup, daging perut dan daging serta lemak,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan SHMMP ini bertujuan memastikan harga barangan kekal stabil dan tidak dinaikkan secara tidak munasabah menjelang dan semasa musim perayaan.

“Penguatkuasaan akan dijalankan bagi memastikan semua peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan.

“Mana-mana individu atau syarikat yang ingkar boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Katanya lagi, individu yang didapati menjual barangan melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM500,000," tambahnya.

Selain itu, peniaga juga diwajibkan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal.

Kegagalan mematuhi arahan ini boleh mengakibatkan denda sehingga RM10,000 bagi individu dan RM20,000 bagi syarikat.

Kelyn turut mengingatkan semua pemain industri termasuk pengeluar, pemborong dan peruncit agar tidak menaikkan harga secara mendadak selepas tempoh SHMMP berakhir.

“Kerjasama semua pihak termasuk pengguna amat penting bagi memastikan kejayaan skim ini.

“Kami menyeru pengguna memainkan peranan dengan melaporkan sebarang ketidakpatuhan melalui aplikasi Ez ADU, laman web e-aduan.kpdn.gov.my, e-mel, talian telefon atau hadir sendiri ke pejabat KPDN Cawangan Sibu,” katanya.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman