RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Orang ramai diseru agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sempena sambutan Hari Gawai Dayak yang bakal diraikan tidak lama lagi, khususnya kepada mereka yang pulang ke rumah panjang dan membuat persiapan perayaan.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie (gambar) berkata, kesedaran terhadap keselamatan amat penting dalam memastikan perayaan berlangsung dalam suasana selamat dan harmoni, tanpa sebarang kejadian tidak diingini seperti kebakaran atau kemalangan.
Menurutnya, antara aspek yang ditekankan termasuklah keselamatan elektrik, keselamatan semasa memasak, kawalan terhadap api terbuka, keselamatan perjalanan pulang ke kampung serta kesedaran umum berkaitan kebakaran.
“Pastikan semua peralatan elektrik berada dalam keadaan baik dan tidak rosak sebelum digunakan.
“Elakkan sambungan elektrik berlebihan dan cabut palam peralatan yang tidak digunakan bagi mengelakkan risiko litar pintas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Andy turut mengingatkan agar kawasan dapur sentiasa bersih dan bahan mudah terbakar perlu dijauhkan daripada sumber api.
“Aktiviti memasak menggunakan dapur gas atau kayu api juga perlu sentiasa diawasi.
“Penting untuk menyediakan alat pemadam api seperti ‘fire extinguisher’ atau selimut api (fire blanket) di dapur sebagai langkah awal pencegahan kebakaran,” tambahnya.
Andy turut menasihatkan orang ramai agar mengelakkan pembakaran terbuka di sekitar rumah panjang, terutama dalam keadaan cuaca panas dan kering, serta tidak membuang puntung rokok sewenang-wenangnya kerana ia boleh menyebabkan kebakaran hutan atau belukar.
Bagi mereka yang akan memulakan perjalanan pulang ke kampung, beliau menyarankan agar kenderaan diperiksa terlebih dahulu termasuk sistem brek, tayar dan lampu.
“Pengguna jalan raya juga diingatkan supaya mematuhi had laju dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” ujarnya
Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai kepada seluruh masyarakat Dayak yang meraikannya, dan berharap agar perayaan tahun ini disambut dengan penuh kegembiraan serta dalam suasana yang selamat dan sejahtera.