RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Pemilik rumah di Taman Rejang yang terjejas akibat isu kumbahan yang telah berlarutan sejak 10 tahun digesa agar tampil menuntut bayaran balik bagi kerja-kerja pembaikan tandas yang dilakukan menggunakan wang sendiri.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kerajaan Sarawak telah meluluskan bantuan kewangan untuk menampung kos yang ditanggung oleh kira-kira 320 pemilik rumah yang sebelum ini membelanjakan wang sendiri bagi membaiki tandas rosak akibat keruntuhan sistem kumbahan berpusat di kawasan tersebut.
“Sistem kumbahan berpusat yang dibina pada tahun 1970-an telah runtuh selepas empat dekad, menjejaskan rumah kediaman dan juga lot kedai.
“Tandas tidak dapat digunakan, menimbulkan masalah kebersihan dan kesihatan yang serius kepada penduduk,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sesi tinjauan mesra bertemu beberapa pemilik rumah di Taman Rejang pada Khamis.
Ketika menjadi Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak pada tahun 2018, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu telah mengemukakan permohonan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Saya memohon sebanyak RM3 juta bagi membantu membaiki tandas dengan meninggalkan sistem berpusat dan menggantikannya dengan tangki septik individu.
“Syukur, Premier kita meluluskan permohonan tersebut dan projek itu dilaksanakan di bawah Majlis Perbandaran Sibu (MPS).
“Kebanyakan rumah kediaman telah dibaiki namun beberapa lot kedai komersial masih menggunakan sistem berpusat dengan saluran paip bawah tanah yang telah dinaik taraf,” jelasnya.
Bagaimanapun, selepas pelaksanaan projek tersebut beliau, menerima rayuan daripada pemilik rumah yang telah membelanjakan wang sendiri sebelum projek itu dijalankan.
“Mereka memohon bayaran balik kerana pihak lain telah mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan tersebut.
“Pada Plihan Raya Negeri (PRN) 2021, saya berjanji kepada mereka bahawa jika saya dipilih sebagai wakil rakyat, saya akan memperjuangkan bayaran balik tersebut,” katanya.
Tiang berkongsi bahawa selepas melalui proses yang panjang dan teknikal, beliau sekali lagi menerima kelulusan daripada Abang Johari untuk menyediakan bantuan kewangan kepada baki 320 isi rumah tersebut.
“Namun cabarannya kini adalah untuk menjejaki pemilik harta yang sah.
“Kapitan kita telah berusaha keras mengesan semua 320 pemilik rumah, tetapi ada yang sukar dikesan, ada yang telah meninggal dunia tanpa memindahkan hak milik, ada yang tinggal di luar negara, dan ada juga yang enggan melayan pasukan kami kerana bimbang ditipu.
“Oleh itu, saya sendiri terpaksa pergi dari rumah ke rumah untuk menerangkan dan memberi jaminan bahawa ini adalah usaha tulen daripada kerajaan,” ujarnya.
Katanya lagi, jumlah sebenar yang akan disalurkan akan diumumkan kemudian tetapi buat masa ini perkara paling penting adalah mengenal pasti semua penerima yang layak.
“Pemilik rumah yang layak boleh menghubungi pusat khidmat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pelawan dan membawa bersama MyKad, geran tanah dan bil penilaian terkini bagi tujuan pengesahan hak milik.
“Bayaran balik ini hanya untuk pemilik rumah, bukan penyewa.
“Kita mahu pastikan wang ini sampai kepada pihak yang sepatutnya. Sila tampil ke hadapan,” tegasnya.