Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Pengiktirafan Pusat Jantung Sarawak, HUS dorong penubuhan kemudahan kesihatan baharu di Sibu dan Miri: Dr Sim

Posted on 09 Jun 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Kejayaan Pusat Jantung Sarawak dan Hospital Umum Sarawak (HUS) meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa menjadi asas kukuh kepada keyakinan kerajaan Sarawak untuk memperluas penubuhan pusat jantung dan kanser ke Sibu dan Miri, tidak hanya terhad di Kuching.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata Pusat Jantung Sarawak yang tersenarai sebagai hospital pakar kardiologi ke-48 terbaik di rantau Asia Pasifik, satu-satunya hospital awam dari Malaysia dalam senarai tersebut, membuktikan keupayaan negeri dalam mengoperasikan fasiliti perubatan khusus bertaraf tinggi.

"Selain itu, HUS turut diiktiraf sebagai salah satu hospital terbaik di Malaysia, menerima pelbagai pengiktirafan dalam bidang rawatan kanser dan disiplin perubatan lain. 

"Ini bukti kita mampu membina dan mengurus lebih banyak pusat rawatan khusus, bukan sahaja di Kuching tetapi di bandar-bandar utama lain di Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina (PKKMC) Bahagian Sibu yang berlangsung di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Pada majlis tersebut, Dr Sim turut menyaksikan ahli-ahli PKKMC Bahagian Sibu yang diketuai oleh pengerusinya Temenggung Dato Vincent Lau mengangkat sumpah bersama ahli-ahli lembaga jawatankuasa ke-11 bagi sesi 2025-2026.

Hadir sama ialah isteri Dr Sim iaitu Datin Amar Enn Ong, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, ADUN Ngemah Anyi Jana, ADUN Tamin Christopher Gira Sambang, Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau serta Senator Rita Sarimah Insol, pengerusi pengelola Penghulu Lau Hieng Wuong serta tetamu jemputan yang lain.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan bahawa faktor geografi Sarawak yang luas memerlukan setiap bandar utama yang dihubungkan dalam lingkungan tiga jam perjalanan memiliki pusat rawatan khusus seperti pusat jantung dan kanser, demi memastikan akses kesihatan lebih menyeluruh kepada rakyat.

"Perjalanan dari Miri ke Kuching sahaja tidak mungkin sampai dalam tiga jam. 

"Oleh itu, kita perlukan pusat di setiap radius tiga jam perjalanan. Ini bukan soal kemewahan, ini soal keperluan,” ujarnya.

Menurut beliau, meskipun pembinaan pusat-pusat ini merupakan tanggungjawab kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak komited menggunakan dana sendiri untuk melaksanakannya, demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

"Kita tidak mahu terus menunggu. Kalau asyik cakap tiada peruntukan, kita bina dulu guna dana sendiri. 

"Kita yakin kerana kita ada pakar perubatan tempatan, kita ada kemudahan, dan kita ada rekod pencapaian," katanya yang juga ADUN Batu Kawah.

Tambah Dr Sim, usaha menubuhkan lebih banyak pusat rawatan khusus bukan sahaja memenuhi keperluan kesihatan rakyat, tetapi juga menjadi simbol komitmen Kerajaan Sarawak dalam meletakkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan utama.

"Kesihatan rakyat adalah keutamaan kita. Inilah pembangunan negara sebenar apabila rakyat, tanpa mengira lokasi, mendapat akses kepada rawatan berkualiti," tegasnya.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman