Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

KMKK barisan hadapan kerajaan Sarawak memperkukuh negara bangsa, perpaduan dan kestabilan

Posted on 09 Jun 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) merupakan barisan hadapan kerajaan Sarawak dalam usaha membina negara bangsa, mengekalkan perpaduan dan menjamin kestabilan negeri ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Menurutnya, KMKK bukan sekadar pemimpin komuniti di peringkat akar umbi, malah memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan, mendengar keluhan masyarakat serta menangani cabaran termasuk penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan keharmonian.

"KMKK adalah suara rakyat di lapangan dan telinga kerajaan di peringkat komuniti. 

"Mereka berperanan menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat dan dalam masa yang sama membawa suara masyarakat ke perhatian kerajaan negeri," katanya semasa berucap menyempurnakan Ulang Tahun Ke-20 Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina (PKKMC) Bahagian Sibu di sebuah hotel di sini malam tadi.

Pada majlis tersebut, Dr Sim turut menyaksikan ahli-ahli PKKMC Bahagian Sibu yang diketuai oleh pengerusinya Temenggung Dato Vincent Lau mengangkat sumpah bersama ahli-ahli lembaga jawatankuasa ke-11 bagi sesi 2025-2026.

Hadir sama ialah isteri Dr Sim iaitu Datin Amar Enn Ong, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, ADUN Ngemah Anyi Jana, ADUN Tamin Christopher Gira Sambang, Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau serta Senator Rita Sarimah Insol, pengerusi pengelola Penghulu Lau Hieng Wuong serta tetamu jemputan yang lain.

Beliau turut menegaskan bahawa KMKK merupakan tonggak utama dalam mengekalkan semangat perpaduan Sarawak, sebuah negeri yang unik dengan kepelbagaian etnik, budaya dan agama.

"Semangat Sarawak bukan sekadar slogan. Ia hidup melalui tindakan dan sumbangan pemimpin masyarakat seperti KMKK yang saban hari memperkukuhkan perpaduan dan membina jambatan antara kaum. 

"Kestabilan negeri kita hari ini adalah hasil usaha kolektif semua pihak termasuk persatuan seperti PKKMC," ujarnya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dr Sim juga memuji peranan aktif PKKMC dalam membina kerjasama antara kaum, menyokong dasar kerajaan serta memperkukuhkan keharmonian sosial di Sibu dan negeri secara amnya.

"Peranan PKKMC selama dua dekad ini tidak harus dipandang ringan. Mereka bukan sahaja memperkukuh perpaduan masyarakat Cina, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memupuk persefahaman antara kaum di Sarawak. 

"Inilah semangat sebenar Sarawak yang kita banggakan,” katanya yang juga ADUN Batu Kawah.

Sementara itu, Vincent Lau dalam ucapannya memberitahu PKKMC ini telah ditubuhkan pada tahun 2005 atas inisiatif mendiang Temenggung Tan Sri Dato Sri Tai Sing Chii, dengan matlamat untuk menyatukan pemimpin-pemimpin masyarakat Cina di seluruh Sibu.

Selain itu, mewujudkan sebuah platform untuk kerjasama, mempertingkatkan penyelarasan dengan pihak kerajaan, serta menambah baik mutu perkhidmatan secara keseluruhan.

"Sejak saya memegang jawatan sebagai Temenggung dan pengerusi persatuan ini pada tahun 2009, saya berpeluang untuk berkembang bersama organisasi ini selama 15 tahun yang lalu. 

"Saya telah menyaksikan perjalanannya dari permulaan yang sederhana hingga pertumbuhan yang mantap, peralihan antara barisan kepimpinan yang silih berganti, dan yang paling penting, kepercayaan serta kebergantungan yang semakin kukuh daripada masyarakat kita," ujarnya.

Sepanjang dua dekad yang lalu, PKKMC jelasnya terus berpegang teguh kepada nilai-nilai terasnya iaitu profesionalisme, kecekapan, dan perkhidmatan inklusif kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum atau latar belakang. 

"Kami telah bekerjasama rapat dengan Pejabat Residen, Pejabat Daerah dan pelbagai agensi kerajaan, berperanan sebagai jambatan komunikasi yang penting, sama ada dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat, mahupun menyuarakan keperluan masyarakat kepada pihak berkuasa," tambahnya.
 

  •  oleh 
    Watt Zacchaeus


image Undian
image Pengumuman