RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Sekitar 80 orang ahli Perguruan Muntat Gamang dari seluruh Sarawak telah berhimpun dalam satu upacara penuh adat dan penghayatan budaya sempena upacara 'Miring Mimpi' di kediaman milik Di Dee di Taman Bilangan, di Bintulu pada Sabtu lepas.
Majlis yang bertujuan memperkukuh kepercayaan rohani dan kebersatuan dalam perguruan itu dimulakan dengan upacara 'Munuh Babi', yang dipimpin oleh Tuai Kayau Muntat Gamang Sarawak Dennis Jarraw.
Upacara tersebut bertujuan menyambut roh nenek moyang serta memohon restu 'Petara' agar majlis berjalan dengan lancar dan diberkati.
Sebagai simbol penghormatan kepada tetamu, piring ‘Ngalu Penengabang’ turut disediakan untuk menyambut kehadiran tokoh-tokoh utama perguruan, termasuk Mahaguru Ugik Jalit, Tukang Biau (Bahu Gamang) Rudy Reba, Sapit Tuai Kayau Sarawak Silo Amit serta Guru Kuntau Paul Kirak.
Dalam ucapan ringkasnya, tuan rumah Di Dee menyatakan rasa terharu dan bangga dengan kehadiran para ahli yang datang dari jauh dan dekat.
"Saya amat terharu dan berbangga melihat kehadiran yang begitu ramai. Tidak saya sangka sambutan sebegini hangat.
"Ini membuktikan bahawa semangat setiakawan dan rasa keprihatinan dalam kalangan ahli perguruan kita masih kuat dan hidup,” ujar beliau sambil berkongsi maksud mimpinya yang menjadi inspirasi kepada majlis tersebut.
Menurut beliau, upacara Miring Mimpi ini diadakan sebagai manifestasi kepercayaan bahawa mimpi yang dialami membawa petanda atau ilham yang boleh membimbing ke arah rezeki dan kebaikan jika dihormati dan dimaknai secara rohani.
Ugik dalam ucapannya menekankan kepentingan memahami susun atur adat dalam setiap ritual yang dilakukan.
"Setiap barangan yang diletakkan dalam piring miring bukanlah secara sembarangan.
"Ada makna dan susunan yang perlu diikut. Lakukan semua ini dengan hati yang ikhlas.
"Jangan kita biarkan adat dan budaya nenek moyang kita lenyap dek arus kemodenan," pesan beliau penuh semangat.
Beliau turut mengingatkan para ahli perguruan agar sentiasa menjunjung tinggi nilai persaudaraan, keikhlasan, dan integriti dalam menjaga warisan ilmu.
"Ilmu yang kita miliki bukan untuk menunjuk hebat atau menindas, tetapi untuk membela bangsa yang tertindas.
"Elakkan perasaan iri hati dan dengki sesama sendiri. Jangan sesekali melanggar sumpah dan perjanjian perguruan kerana akibatnya sangat berat.
"Lahir beradat, mati pun dijunjung adat, itulah falsafah yang harus terus terpahat di hati para ahli Perguruan Muntat Gamang," tambahnya.
Majlis turut diserikan dengan sesi ramah mesra, makan bersama, dan diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai sebagai simbol perpaduan dan kenangan bersama.
Upacara ini bukan sekadar satu perhimpunan tradisi, tetapi menjadi bukti bahawa budaya dan adat yang diwarisi dari nenek moyang terus hidup dan disemarakkan oleh generasi masa kini.