Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

SJA raikan jawatankuasa baharu dalam majlis sambutan Hari Gawai Dayak

Posted on 10 Jun 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Persatuan Wartawan Sibu (SJA) meraikan pelantikan jawatankuasa baharu bagi penggal 2025–2027 dalam satu majlis yang turut diadakan bersempena sambutan Hari Gawai Dayak, malam tadi.

Majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau.

Dalam ucapannya, Lau menekankan kepentingan peranan wartawan profesional dalam era digital yang penuh cabaran akibat penularan maklumat palsu dan berita tidak sahih.

“Walaupun ramai yang berkongsi berita di media sosial seperti Facebook, TikTok, WeChat dan Instagram, itu tidak menjadikan mereka wartawan.

“Wartawan sebenar terlatih untuk menyemak fakta, menyampaikan laporan yang seimbang dan menjadi penjaga kebenaran,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lanang.

Menurutnya, media arus perdana seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan akhbar tempatan masih menjadi pilihan rakyat kerana penyampaian maklumat yang sahih, beretika dan mendalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Lau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Kasih @ HAWANA bagi tahun 2025.

Peruntukan itu, jelasnya, bertujuan membantu pengamal media yang menghadapi masalah kesihatan dan kecemasan.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan MADANI menghargai pengorbanan dan jasa petugas media dalam menyampaikan kebenaran serta membina masyarakat berinformasi,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi SJA yang baharu dilantik, Florence Nervyn menyeru warga media agar terus memainkan peranan sebagai pemangkin perpaduan dan pembangunan masyarakat.

“Sejak 1993, SJA bukan sekadar sebuah persatuan wartawan, malah sebuah keluarga yang komited dalam menyampaikan maklumat sahih, mendidik dan membentuk kefahaman masyarakat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa terdahulu yang diketuai oleh Yii Souk Ming atas sumbangan dan kepimpinan mereka selama ini.

“Saya berharap jawatankuasa baharu dapat memimpin dengan visi, bertindak dengan berani dan berkhidmat dengan sepenuh hati, selari dengan cabaran semasa dalam dunia kewartawanan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengerusi penganjur majlis Akun Giman berkata acara tersebut bukan sahaja bertujuan meraikan pelantikan kepimpinan baharu, tetapi juga mengukuhkan silaturahim antara ahli SJA, pemimpin masyarakat serta rakan-rakan media bersempena perayaan Gawai.

“Gawai bukan sekadar perayaan, ia simbol warisan budaya, kekuatan komuniti dan tanda penghargaan terhadap hasil tuaian serta harapan untuk masa depan yang lebih gemilang,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, pertandingan bertemakan Gawai dan cabutan bertuah hasil sumbangan para penaja.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, dan ADUN Bukit Assek Joseph Chieng.

  •  oleh 
    Andy Sabang


image Undian
image Pengumuman