Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Cadangan tubuhkan semula Sarawak Rangers mampu perkukuh keselamatan negeri: PVATM

Disiarkan pada 04 Jul 2025
Sumber Berita: Utusan Borneo Online

SIBU: Cadangan untuk menubuhkan semula Sarawak Rangers diyakini mampu membawa pelbagai manfaat khususnya dalam memperkukuhkan aspek keselamatan negeri.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sarawak Jimbau Galau (gambar) berkata, cadangan tersebut wajar disokong memandangkan Sarawak Rangers pernah terkenal suatu ketika dahulu dengan kepakaran mereka dalam selok-belok hutan dan keselamatan sempadan.

Menurut beliau, penubuhan semula pasukan yang dicadangkan itu mampu memainkan peranan penting dalam memelihara keselamatan serta kesejahteraan rakyat, terutama di kawasan pedalaman.

“Penubuhan semula Sarawak Rangers bukan sahaja dapat membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran belia tempatan, malah memperkukuhkan semangat patriotisme serta memartabatkan sejarah perjuangan wira-wira terdahulu,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jimbau turut menegaskan, penubuhan semula pasukan yang dicadangkan berkenaan dapat membantu kerajaan negeri dalam mempertahankan kawasan sempadan daripada sebarang ancaman pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.

Beliau juga percaya, golongan veteran tentera boleh menyumbang kepakaran serta pengalaman mereka untuk melatih generasi baharu Sarawak Rangers agar sentiasa bersiap sedia menghadapi cabaran keselamatan semasa.

“Saya berharap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat bekerjasama merealisasikan hasrat ini demi kepentingan rakyat dan keselamatan Sarawak pada masa akan datang,” tambahnya.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan penubuhan semula Sarawak Rangers sebagai unit keselamatan dalaman khas bagi melindungi kepentingan negeri.

Cadangan tersebut dibuat susulan kenyataan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai kesediaan kerajaan negeri menawarkan biasiswa kepada anak Sarawak yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang keselamatan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan melahirkan tenaga muda yang berdisiplin dan berpengetahuan tinggi dalam aspek teori keselamatan bagi memenuhi keperluan negeri.

“Bukannya kita hendak menubuhkan tentera sendiri tetapi ini soal latihan bakat. Mereka kemudiannya boleh berkhidmat dengan polis, tentera atau Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS),” jelasnya.

Nanta menjelaskan, cadangan tersebut bukan bertujuan menyaingi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sebaliknya bertindak sebagai pelengkap kepada struktur keselamatan negara bagi menghadapi cabaran semasa yang semakin kompleks.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit menegaskan, pelbagai aspek termasuk sudut perundangan dan fungsi pasukan itu perlu diteliti agar selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada.

  •  oleh 
    Andy Sabang


image Undian
image Pengumuman