Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

12 terima penghargaan bantu selesai kes bunuh dan rogol di Sibu

Disiarkan pada 15 Jul 2025
Sumber Berita: Utusan Borneo Online

SIBU: Seramai 12 individu menerima penghargaan daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata hari ini atas peranan mereka dalam menyelesaikan dua kes jenayah berprofil tinggi di sini pada akhir bulan lalu.

Majlis yang diadakan di Wisma Pengaman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu itu merupakan bentuk pengiktirafan kepada pegawai kanan polis, anggota serta seorang orang awam yang terlibat secara langsung dalam penangkapan suspek bagi kes bunuh dan kes rogol, kedua-duanya melibatkan warga asing.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis, Mancha berkata kejayaan operasi itu mencerminkan kerjasama erat antara polis dan masyarakat, khususnya dalam siasatan jenayah yang mana maklumat daripada orang awam memainkan peranan penting.

“Terima kasih kepada maklumat tepat dan pantas daripada orang awam, kita berjaya menyelesaikan dua kes besar iaitu satu kes bunuh dan satu kes rogol.

“Ini menunjukkan bahawa polis tidak boleh bergerak sendiri, dan kerjasama masyarakat adalah amat penting,” katanya.

Menurut beliau, kes pertama melibatkan pembunuhan seorang lelaki warga Indonesia yang berlaku pada 23 Jun lalu di Jalan Rantau Panjang.

Bertindak atas maklumat awam, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu berjaya menahan suspek, iaitu sepasang suami isteri warga Indonesia di tepi jalan di Jalan Pasai-Siong, hanya 12 jam selepas kejadian.

Pasangan tersebut didakwa di Mahkamah Sibu pada 8 Julai di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan masing-masing dijatuhkan hukuman penjara enam bulan.

Suspek lelaki turut berdepan pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

Kes tersebut ditetapkan untuk sebutan pada 25 Ogos.

Mengenai kes kedua, Mancha berkata suspek, seorang lelaki warga Indonesia, sebelum ini telah ditahan atas kesalahan merogol kanak-kanak.

Namun pada 21 Jun, dia melarikan diri daripada tahanan sah, sekali gus mencetuskan gerakan memburu secara besar-besaran.

Dia berjaya ditangkap semula keesokan harinya pada 22 Jun, di Jalan Terap hasil usaha bersama pihak polis dan orang awam.

Suspek kemudian dijatuhi hukuman penjara selama 16 tahun lapan bulan dan enam sebatan selepas disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 224 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kes-kes ini bukan kes kecil. Kejayaan ini membuktikan betapa besar impak kerjasama awam dalam usaha kepolisan kita,” tegas Mancha sambil menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkenaan sebarang aktiviti jenayah di kawasan masing-masing.

Antara penerima sijil penghargaan ialah Inspektor Sudiman Sakuot, Sarjan Detektif Ghazali Salleh, Koperal Detektif Macdonald Lalo, Koperal Detektif Mohd Razali Ramdzan, Koperal Detektif Zainuddin Aripin, dan Lans Koperal Detektif Muhd Hamiz Azizi Mustapha, kesemuanya daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu.

Turut menerima pengiktirafan ialah Sarjan Kamarulzaman Abd Samad, Koperal Heldrick Rayner Loindin, Lans Koperal Hizba Fauzan Mohd Yusof dan Lans Koperal Joenin Masiyin dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Sibu.

Koperal Mohd Redzuan Kamaruddi dari unit pengiring IPD Sarikei turut diberi penghargaan atas peranannya dalam operasi berkenaan.

Seorang orang awam, Rezrki Dwi Indah Lestari Muhammad Husien, turut menerima sijil penghargaan kerana membantu polis dengan memberikan maklumat penting yang membawa kepada penangkapan suspek.

“Ini lebih daripada sekadar satu anugerah. Ia adalah mesej kepada masyarakat bahawa peranan mereka dalam menjaga keselamatan awam adalah sama penting dengan tugas polis,” tegas Mancha lagi.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Cawangan Khas Sarawak SAC Mohd Taufik Toh Abdullah, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan & Operasi) ACP Ishak Yaakob, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili, Timbalan Ketua Polis Sibu Supt Boniface Bajai serta Ketua Logistik dan Teknologi Kontinjen Sarawak.

  •  oleh 
    Michael Ubam


image Undian
image Pengumuman