RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Guru-guru Tabika di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dibenarkan menggunakan media sosial untuk mempromosikan Tabika Perpaduan bagi meningkatkan bilangan kemasukan murid.
Ketua Pengarah JPNIN Dato Che Roslan Che Daud berkata guru-guru boleh menggunakan kemahiran mereka dalam media sosial di platform seperti TikTok, Facebook, Instagram dan sebagainya untuk menarik perhatian ibu bapa dan murid.
“Kita mahu tabika-tabika ini dimanfaatkan sepenuhnya. Oleh itu, guru perlu berusaha untuk mendapatkan jumlah maksimum murid iaitu seramai 25 orang.
“Jabatan menanggung kos operasi sehingga RM100,000 setahun bagi setiap tabika, termasuk gaji guru, pembantu guru, sewa dan sebagainya.
“Kita perlu memindahkan tabika yang mempunyai kurang daripada 10 murid kerana ini menunjukkan ia tidak lagi berbaloi untuk diteruskan di kawasan tersebut,” ujarnya pada sambutan Hari Guru JPNIN Sarawak di sini, malam Rabu.
Che Roslan turut memberi peringatan kepada guru-guru agar tidak menyalahgunakan media sosial untuk tujuan mempromosikan diri sendiri kerana tindakan sedemikian melanggar peraturan jabatan.
Terdahulu, beliau berkata adalah penting bagi guru-guru memanfaatkan kemajuan teknologi sebagai alat bantu mengajar dalam usaha reformasi pendidikan.
“Kita harus melihat penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dari sudut yang positif. Guru-guru perlu meningkatkan pengetahuan bukan sahaja dalam aspek pengajaran, tetapi juga dari segi penggunaan AI, Internet Benda (IoT) dan sebagainya.
“Gunakan televisyen pintar sebagai alat pembelajaran dan banyak lagi dalam bilik darjah,” katanya.
Turut hadir ialah Pengarah JPNIN Sarawak Dirwana Azool.