RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Bekalan air di sepanjang Jalan Salim dan kawasan sekitarnya akan terganggu hari ini ekoran kerja pembaikan segera paip utama berdiameter 750 milimeter yang bocor akibat mendapan tanah di hadapan bangunan Persatuan Foochow di sini.
Sarawak Water Wilayah Tengah dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan, gangguan itu bermula jam 10 malam ini dan berterusan sehingga kerja pembaikan selesai, yang dianggarkan mengambil masa 15 jam.
“Kerja pembaikan segera ini perlu dilakukan untuk mengelakkan kegagalan besar pada paip yang boleh menyebabkan gangguan bekalan air meluas dan berpanjangan, kerosakan jalan raya serta risiko kualiti air.
“Oleh itu, tindakan segera amat penting bagi memastikan keselamatan sistem agihan air di Sibu,” kata kenyataan itu.
Antara kawasan terjejas ialah Jalan Stabau/Jalan Kong Yit Khim hingga Jalan Nibong Tada dan Durin, Jalan Salim hingga Jalan Pedada/Jalan Dr Wong Soon Kai, serta Jalan Ling Kai Cheng hingga persimpangan lampu isyarat Ling Kai Cheng/Ulu Sungai Merah.
Turut terjejas ialah Jalan Lada hingga ke pusat bandar Sibu dan kampung sekitarnya, Jalan Brooke Drive hingga Jalan Teng Chin Hua, Jalan Quarry hingga Jalan Pasai Siong, Jalan Wawasan hingga Bawang Assan, serta Jalan Teku Lama hingga Jalan Ding Lik Kong.
Dalam kenyataan lain, Sarawak Water Wilayah Tengah memaklumkan kerja pembaikan segera akan dijalankan terhadap paip utama keluli lembut berdiameter 600 milimeter yang bocor akibat mendapan tanah di hadapan bangunan Persatuan Foochow, bermula jam 2 petang hari ini dan dijangka mengambil masa enam jam.
Antara kawasan terjejas ialah sepanjang Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce (Salim Bypass), sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman – dari Jabatan Kimia hingga ke Jalan Ulu Sungai Merah, termasuk Jalan Permai Jaya, Star Mega Mall, Starlink Hotel, Jalan Ling Kai Cheng, serta Lorong Ulu Sungai Merah 12 hingga 63.
Turut terjejas ialah Kampung Bahagia Jaya, Rh Edward Teku Pasai dan Rh John Lalong Teku Pasai, Jalan Old Oya hingga simpang Sibu/Bintulu, serta Jalan Ulu Oya yang merangkumi Hospital Sibu, Jalan Permai, Jalan Undan, Jalan Cendana, Lorong Tunku Abdul Rahman 31, Jalan Satria, Jalan Bumi Indah, Jalan Kampung Jeriah, Jalan Bougenvilla, Jalan Pine, Taman Kemuyang, Kem Rascom dan Methodist Victory Home.
Sarawak Water menasihatkan pengguna yang terjejas supaya menyimpan bekalan air secukupnya lebih awal bagi mengurangkan kesulitan.
“Kami dengan tulus memohon maaf atas kesulitan yang mungkin timbul dan memberi jaminan bahawa pasukan pembaikan kami akan berusaha sedaya upaya untuk menyiapkan kerja dan memulihkan bekalan air seperti sediakala secepat mungkin,” kata kenyataan itu.
Untuk bantuan lanjut, pelanggan boleh menghubungi Talian Hotline Air Sarawak Wilayah Tengah di 013-8106311.