Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Orang ramai dipelawa sertai Kempen Derma Darah di PBSMM Cabang Sibu Sabtu ini

Disiarkan pada 23 Oct 2025
Sumber Berita: Utusan Borneo Online

SIBU: Orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat dipelawa untuk menyertai satu Kempen Derma Darah yang akan diadakan pada 25 Oktober (Sabtu ini) bertempat di Ibu Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Cabang Sibu, Jalan Awang Ramli Amit.

Kempen anjuran bersama Persatuan Alumni Kolej Perguruan Sarawak (STTCAA) bagi Bahagian Ketiga, Keenam dan Ketujuh serta PBSMM Cabang Sibu itu akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 1 petang, dan terbuka kepada semua termasuk golongan belia, penjawat awam serta ahli alumni.

Menurut jurucakap penganjur, kempen ini merupakan usaha murni bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi di hospital, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan.

“Kami menyeru orang ramai agar meluangkan sedikit masa untuk tampil menderma darah. Ia bukan sahaja boleh menyelamatkan nyawa, tetapi juga satu bentuk sumbangan kemanusiaan yang amat bermakna,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Tambahnya, setiap titisan darah yang didermakan membawa harapan dan peluang kedua kepada pesakit yang memerlukan, di samping memupuk semangat kesukarelawanan dalam komuniti.

Sebagai penghargaan, penderma yang berjaya akan menerima cenderahati istimewa daripada penganjur.

Selain aktiviti utama menderma darah, program ini turut menyediakan sesi penerangan kepada pengunjung mengenai prosedur keselamatan dalam proses pendermaan, serta kepentingan bekalan darah yang berterusan di fasiliti kesihatan.

Pihak penganjur turut menyatakan harapan agar program seumpama ini dapat diperluas ke lebih banyak kawasan lain di Sarawak bagi meningkatkan kesedaran awam dan memastikan keperluan bekalan darah dapat dipenuhi secara konsisten.

Mengangkat tema “Derma Darah, Selamatkan Nyawa!”, kempen ini dijangka bukan sahaja membantu menambah stok darah, malah menjadi platform memperkukuh nilai kemanusiaan dan keprihatinan sosial di kalangan masyarakat setempat.

Orang ramai yang ingin turut serta disaran hadir awal bagi melancarkan proses pendermaan.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman