Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Pelan penambahbaikan Jalan Pulau Dudong kini masuki fasa tender: Tiong

Disiarkan pada 03 Nov 2025
Sumber Berita: Utusan Borneo Online

SIBU: Pelan penambahbaikan Jalan Pulau Dudong kini memasuki fasa tender selepas diluluskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Seri Tiong King Sing.

Menurut beliau, projek berkenaan telah dibincangkan bersama pihak JKR sejak hujung 2022 sebelum pelan reka bentuknya disediakan dan mendapat kelulusan pada 2023.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak JKR atas semakan serta kelulusan yang diberikan.

"Projek ini dijangka dimulakan tahun depan dengan tempoh pembinaan selama dua tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia menyeru agar proses tender dan pelaksanaan kerja dipercepat supaya penduduk dapat menikmati kemudahan jalan yang lebih baik secepat mungkin.

Projek penambahbaikan Jalan Pulau Dudong melibatkan laluan sepanjang 7.5 kilometer (km) yang menghubungkan Jalan Salim/Stabau dengan Jalan Lapangan Terbang Sibu, antara laluan utama penduduk di kawasan tersebut.

Menurutnya, paras banjir tertinggi pernah dicatat di kawasan berkenaan adalah 3.34 meter (m), dengan bahagian permulaan projek dikenal pasti sebagai kawasan paling teruk terjejas setiap kali banjir berlaku.

Tiong menjelaskan, tujuan utama projek itu adalah untuk meninggikan aras jalan bagi mengatasi masalah banjir berlarutan serta menstabilkan struktur tanah yang mudah mendap.

Selepas penambahbaikan, beliau berkata, ketinggian minimum jalan akan dinaikkan kepada 3.88m manakala kawasan banjir teruk akan ditinggikan sehingga 14m.

“Penambahbaikan ini bukan sahaja akan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, malah akan memberi manfaat kepada lebih 300 penduduk termasuk beberapa rumah panjang berhampiran,” katanya.

Beliau menambah, projek itu dijangka akan memudahkan pergerakan penduduk, memperkukuh jaringan jalan raya di kawasan Dudong serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

“Saya berharap projek ini dapat dimulakan segera supaya penduduk dapat menikmati jalan raya yang lebih selamat dan selesa dalam masa terdekat,” tambahnya.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman